'Surat SUA UMNO cubaan menderhaka kepada Agong'

Iklan
Kandungan surat Annuar untuk Ahmad yang dimuat naik di Twitter.

SHAH ALAM – Surat Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada ahli-ahli Parlimen untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen boleh ditafsirkan sebagai cubaan menderhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, surat yang ditulis oleh Ahli Parlimen Pontian bertarikh 18 Januari itu satu usaha jelas bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Annuar yang memuat naik surat yang ditulis kepada Ahmad di Twitter turut mendakwa tindakan berkenaan tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh parti.

"Ia bercanggah sama sekali dengan kenyataan akhbar YB DS Presiden bertarikh 12hb Januari para 1 yang menyebut:

Iklan

"UMNO menjunjung titah Tuanku SPB YDP AGONG yang memperkenankan pengisyitiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana nasihat YAB Perdana Menteri.

"Kalau sudah ‘menjunjung titah’ dan itu keputusan parti, mengapa YB Dato Seri cuba membelakangi kenyataan rasmi Presiden Parti?” soal Annuar dalam satu surat kepada Ahmad pada Selasa.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat: Anwar

Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat

Tindakan Anwar mohon perkenan Agong batal darurat tidak wajar

Annuar yang juga bekas Setiausaha Barisan Nasional (BN) berkata, surat yang ditulis Ahmad bercanggah dengan ketetapan parti yang berkali-kali menegaskan memegang prinsip’ No Anwar No DAP’.

Justeru, beliau meminta Ahmad menarik balik surat tersebut dan disifatkan sebagai tidak berpelembagaan serta bercanggah dengan dasar dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Dalam pada itu, Annuar dalam surat kepada Ahmad melahirkan rasa dukacita kerana surat SUA UMNO itu mengandungi kesilapan besar dalam mentafsirkan Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 150 (3) yang dirujuk, bermaksud untuk mengesahkan apa-apa undang-undang yang dibuat secara pengisytiharan (promulgation) semasa darurat, iaitu undang-undang atau ordinan yang dibuat tanpa persidangan Parlimen.

"Ia bermaksud perlu dibentang setelah darurat tamat tetapi bukan dipanggil untuk bincang keabsahan proklamasi darurat yang telah diisytihar mengikut Perlembagaan oleh Tuanku.

"YB Dato Seri seharusnya faham setelah proklamasi dibuat di bawah perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak lagi bersidang dan hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat,” jelasnya.

Beliau berkata, kaedah pengisytiharan darurat dan perjalanan legislatif semasa darurat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan cukup jelas.

Oleh itu katanya, ahli-ahli Parlimen UMNO, Barisan Nasional dan juga lain-lain parti tidak boleh membuat petisyen kepada Agong untuk membatalkan apa yang telah diputuskan mengikut Perlembagaan.

"Tidak ada peruntukan undang-undang untuk kita berbuat demikian. Tidak ada paksi undang-undang untuk kita berpegang. Tindakan kita akan gagal,” katanya lagi.