SHAH ALAM - Talian telefon dan aplikasi WhatsApp Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, pegawai khasnya, Aizat Azam memaklumkan bahawa kejadian tersebut mula disedari sejak jam 10 malam pada Isnin.
"Untuk makluman, walaupun Datuk Seri Mahdzir tidak menggunakan aplikasi WhatsApp dan mematikan telefon bimbitnya, tetapi aplikasi tersebut kelihatan sedang ‘online’ yang mana ia jelas menunjukkan ia sedang digodam oleh seseorang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, segala hantaran dan maklum balas di aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon yang digunakan bekas Menteri Pendidikan itu bukankah daripada beliau.
"Adalah dimohon tuan puan untuk mengabaikan sebarang bentuk hantaran dan maklum balas yang tidak menyenangkan,” katanya.
Pada masa sama, Aizat berkata, pihaknya akan membuat laporan dan aduan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat perkara tersebut.
"Buat masa ini, Datuk Seri Mahdzir terpaksa mematikan talian telefon bimbitnya sebagai langkah keselamatan.
"Sebarang kesulitan di pihak tuan puan yang cuba menghubungi Datuk Seri Mahdzir, diharap ambil maklum akan kejadian penggodaman ini,” katanya.