GEORGETOWN - Tujuh lelaki direman tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berhubung tindakan membuat provokasi terhadap anggota polis selain menghalang tugas penjawat awam dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini pada Ahad lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen / Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi.
Kesemua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang motosikal mengaku polis tidak tendang
Provokasi terhadap polis: Tujuh lelaki ditahan
Polis nafi tendang dua lelaki hingga kemalangan
Terdahulu, polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mengepung dan menghalang tiga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lelaki pada petang Ahad.
Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada salah seorang anggota URB yang terlibat pada Isnin. Kesemua ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong di sini.
Dalam kejadian pada jam 5,20 petang Ahad lalu, sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan menghalang tiga anggota URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Ketika kejadian, tiga anggota URB tersebut sedang membuat rondaan di Jalan Sri Tanjung Pinang sebelum terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.
Polis mengarahkan dua lelaki itu untuk berhenti namun mereka ingkar, malah turut memecut motosikal untuk melarikan diri.
Anggota URB tersebut kemudian mengejar dan setiba di lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut tidak berhenti lalu berlanggar dengan sebuah kereta.
Anggota polis terbabit bagaimanapun dituduh menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki itu sehingga menyebabkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat di hadapan sebuah pasar raya di Tanjung Tokong.
Berikutan itu, sekumpulan lelaki membuat provokasi terhadap anggota polis berkenaan dengan menggunakan kata-kata kesat.