SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan dibuat kali ketiga sejak mengadakan sidang akhbar pada 12 Januari lepas.
Nazri berkata, beliau membuat ujian saringan selepas menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19 iaitu blogger, Zaharin Mohd Yasin yang didapati positif selepas menghadiri sidang akhbar berkeaan.
"Dua ujian saringan pada awalnya didapati negatif. Namun, saya mengalami batuk yang kuat dan dirawat di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: Nazri Aziz positif Covid-19
"Ujian saringan turut dibuat ketika menerima rawatan di hospital dan saya didapati positif Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun Nazri berkata, tahap kesihatannya kini dalam keadaan stabil dan beransur pulih.
"Sekarang ini semua sudah beransur pulih selepas menerima pelbagai rawatan termasuk dimasukkan air. Saya okay," katanya.
Nazri kini menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (HRPZII), Kelantan sejak Isnin.
Pada sidang akhbarnya minggu lalu, Nazri mengumumkan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sekali gus mengisytiharkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang majoriti.