PUCHONG -"Sekarang saya langsung tiada wang di tangan. Semuanya habis digunakan bayar tambang e-hailing untuk ulang-alik ke hospital sebelum ini,” kata Jatimah Mahat, 58, dari Kampung Tengah Batu 13 di sini.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, menurut Jatimah, dia dan suaminya, Kastari Sirat, 83, bersama dua cucu terpaksa menjalani kuarantin di rumah kerana merupakan kontak rapat sebelum disahkan positif Covid-19.
Pada 7 Januari lalu, katanya, anak keduanya disahkan positif Covid-19 sebelum dimaklumkan menantu dan seorang cucunya yang berusia tujuh bulan turut positif virus berkenaan.
"Disebabkan menjadi kontak rapat kepada anak, saya, suami dan dua cucu membuat ujian saringan dan dipakaikan gelang pink serta diminta kuarantin di rumah.
"Keperitan bermula apabila empat anak saya dan menantu juga terpaksa kuarantin dan tiada siapa dapat membelikan makanan apabila kami terputus bekalan sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jatimah berkata, sepatutnya dia, suami dan dua cucu berusia tujuh dan 11 tahun ke hospital pada Isnin untuk membuka gelang pink tersebut.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mereka berempat positif Covid-19 dan perlu terus kuarantin di rumah.
"Saya teruja kerana doktor beritahu jika tak ada terima panggilan telefon daripada hospital pada Sabtu dan Ahad, bermakna sudah bebas daripada virus serta akan dibukakan gelang pink semalam (Isnin).
"Rupanya kami masih positif virus itu dan perlu terus pakai gelang pink. Saya risau juga kerana sejak seminggu lalu demam dan kini hanya menunggu panggilan telefon daripada pihak hospital,” katanya.
Sementara itu, kisah Jatimah yang terputus bekalan makanan mendapat perhatian pihak masjid dan penduduk berhampiran yang berkunjung ke rumahnya dengan membawa makanan asas beberapa hari lalu.
"Ada orang masjid dan beberapa individu hantar makanan, Alhamdulillah, cuma saya keputusan wang sekarang.
"Semua duit yang ada habis digunakan untuk tambang pengangkutan ulang-alik ke hospital sebelum ini. Saya pula sudah tidak bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak mula kuarantin pada 7 Januari lalu,” katanya yang merupakan penerima bantuan asnaf sebanyak RM400 dan bantuan sewa rumah sebanyak RM750 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Sementara itu, LZS menerusi satu kenyataan memaklumkan Ketua Penolong Amil Kariah Masjid bersama Biro Kebajikan Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, Puchong sudah mengunjungi pasangan warga emas berkenaan bagi menyalurkan bantuan.
Katanya, bantuan itu diberikan sementara menunggu bantuan kewangan bulanan diproses.
"Kami mendoakan agar mereka semua diberi kesembuhan dan bebas dari pandemik ini. Terima kasih kepada seluruh pembayar zakat,” katanya.