Permai: Beri sinar baharu kepada rakyat

Iklan
Pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung TV di sini, pada Isnin. Gambar kecil dari atas: Mohamad Fazli Sabri, Ahmad Azrin Adnan

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berjumlah RM15 bilion yang diumum pada Isnin dilihat bertepatan untuk memberi sinar kepada kumpulan isi rumah yg terjejas terutama kumpulan B40 dan M40 termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pelaksanaan pakej itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Iklan
Iklan

"Secara umum, saya melihat bahawa kerajaan sangat prihatin dengan keadaan rakyat berikutan bencana banjir dan penularan wabak Covid-19 yang terus menunjukkan peningkatan ketika ini.

"Inisiatif tersebut bukan sahaja tempiasnya dirasakan oleh kumpulan ini malahan juga kepada kumpulan pelajar sekolah dan institusi pengajian tertinggi termasuk penerima pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Selain itu katanya, lanjutan moratorium dan pengurangan bayaran ansuran juga merupakan sesuatu yang dinanti untuk membantu mereka daripada terus berhadapan dengan bebanan kewangan.

Tambahnya, pengenalan pakej bakul makanan RM100 juga amat membantu untuk keluarga mendapatkan keperluan asasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan

"Tidak ketinggalan bantuan untuk kumpulan yang sangat rentan iaitu penerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Beliau berkata, pakej bantuan yang membabitkan 22 inisiatif itu dilihat meliputi semua kumpulan meskipun pada asasnya memberi fokus kepada negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan alami banjir.

"Pakej yang kita tengok ini sebenarnya bantuan tambahan kepada pakej sedia ada dan ia sangat diperlukan oleh rakyat ketika ini.

"Malah, tiga matlamat utama pakej iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan juga sangat bertepatan dalam membantu semua pihak yang terlibat.

"Bagaimanapun, kerajaan juga perlu melihat kepada pelaksanaan kepada bantuan ini sama ada ia sampai kepada golongan sasar supaya tidak timbul isu," katanya.

Katanya, semua pihak seharusnya memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan itu dalam menghadapi tempoh sukar ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan pelaksanaan pakej bantuan Permai bernilai RM15 bilion.

Beliau berkata, pakej itu sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Katanya, sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah pakej Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan sedia 22 inisiatif bawah Permai

Najib kritik Permai tak beri moratorium secara automatik