Harimau Malaya boleh turun padang

Iklan
Skuad Harimau Malaya bakal kembali menjalani latihan di MSN, Bukit Jalil dalam masa terdekat. Foto FB FAM

SKUAD Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe sudah mendapat 'lampu hijau' untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di Majlis Sukan Negara MSN), Bukit Jalil dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan dengan MSN dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Iklan
Iklan

"Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) tadi, saya lihat mereka boleh gunakan premis MSN sebagai pusat latihan.

‘MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang memudahkan untuk dilakukan operasi berasaskan ‘quarantine based’ berbanding tempat lain.

Iklan

"Presiden FAM pun dan bincang dengan KP (Ketua Pengarah) MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) dan secara prinsipnya ia pendekatan yang akan digunakan,” kata Reezal Merican dalam satu kenyataan pada Selasa.

Venue latihan di MSN yang akan digunakan sebagai persiapan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dijangka boleh menempatkan sehingga 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.

Iklan

Sebagai rekod, kem latihan pusat Harimau Malaya sepatutnya bermula Sabtu lalu, namun terpaksa dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Reezal memaklumkan persiapan atlet kebangsaan di bawah Program Podium tampak positif khususnya atlet yang sedang membuat persiapan untuk kejohanan antarabangsa dan aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Ia tetap diteruskan seperti biasa. Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan pusat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang agak tersendiri," jelasnya.

Ketika ini, hampir 632 atlet, jurulatih dan pegawai 28 jenis sukan terlibat di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai.