'Tiada lagi kompaun, tangkap jika ingkar SOP'

Iklan
Polis akan bertindak lebih tegas bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan penularan Covid-19 yang meningkat semula.

JEMPOL- Polis akan bertindak lebih tegas bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan penularan Covid-19 yang meningkat semula, khususnya di Jempol.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, tindakan tegas itu termasuk menangkap mereka yang ingkar, bukan lagi sekadar mengeluarkan kompaun.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, masyarakat daerah ini dilihat semakin patuh PKPB sejak ia dilaksanakan pada 13 Januari lalu yang mana tiada sebarang kompaun dikeluarkan. Namun usaha untuk mempertingkatkan pemantauan akan terus dijalankan ekoran peningkatan kes tersebut di negara kita.

Justeru, kami berharap orang ramai akan terus mematuhi arahan ini dan lebih serius dalam isu pematuhan SOP PKPB selain tidak mengambil mudah dengan apa yang diuar-uarkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan unit task force Covid yang turut melibatkan agensi lain bertujuan membuat pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan SOP PKPB.

"Dalam masa sama kita membuat edaran risalah berhubung Covid-19," katanya.

Iklan

Chang Hook turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi berita atau maklumat palsu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Mereka ini boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Jangan cepat sangat buat 'breaking news'. Pastikan berita yang dikongsi itu sahih daripada sumber yang sah," katanya.