Usahawan kecantikan tukar bidang perniagaan

Iklan
Hayati (kiri) dan Yuha (kanan) bersama-sama memajukan restoran LAUK.

WANITA kelahiran Pahang ini bermula dengan perniagaan berasaskan kecantikan, namun impak Covid-19 menyebabkan beliau terpaksa menukar perniagaannya kepada makanan dan minuman (F&B).

Usahawan kecantikan dan perawatan rambut, Hayatie Aziz, 44, berkoloboratif dengan Chef Yuha Mehat, 40, mengasaskan Restoran LAUK yang memfokuskan hidangan lauk ayam kampung di Kompleks KPPMS, Seksyen 3, Shah Alam.

Iklan
Iklan

Pada masa yang sama, mereka turut mengeluarkan produk ready-to-eat (RTE) berasaskan masakan kampung.

Menurut Hayati, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan menceburi perniagaan baharu itu kerana yakin trend masyarakat sekarang yang suka menempah makanan melalui talian (online) sahaja.

Iklan

"Selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu berikutan penularan Covid-19, saya tidak boleh meneruskan perniagaan. Sebagai jurulatih bidang kecantikan dan perawatan rambut, saya terpaksa menangguhkan banyak program yang bakal dilaksanakan dengan beberapa kementerian.

"Saya perlu mencari sumber kewangan untuk meneruskan hidup. Pelawaan Chef Yuha Mehat untuk bersama-sama dalam bidang perniagaan F&B, dianggap sebagai rezeki dan saya menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.

Iklan
Hayatie (tiga dari kiri) dan Chef Yuha (kiri) bersama keluarga yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perniagaan yang dijalankan.

Hayatie berkata, meskipun tidak mempunyai kepakaran dalam bidang masakan tetapi beliau optimis dengan pencapaian restoran berkenaan yang mampu bertahan meskipun turut berdepan dengan kesan Covid-19.

"Alhamdulillah, saya yakin dengan kedudukan LAUK dan kepakaran Chef Yuha dalam menyediakan masakan yang pastinya menambat selesa sesiapa sahaja. Yuha pula memerlukan saya untuk membantu mengukuhkan kedudukan LAUK yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan,” katanya.

Lauk kampung

Menurut Hayatie, Restoran LAUK yang berkonsepkan suasana kampung menyediakan lebih 20 menu yang menyelerakan untuk memenuhi keperluan pengunjung restoran berkenaan.

"Kami menyediakan pelbagai jenis hidangan masakan kampung. Antara signatur makanan di restoran ini ialah masakan yang berasaskan ayam kampung seperti gulai ayam kampung, kerutuk ayam kampung, ayam goreng kampung dan rendang hijau ayam kampung, rendang rembau daging dan rendang hijau daging.

"Semua makanan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan. Restoran ini yang beroperasi pada jam 11 pagi hingga 3.30 petang mampu memuatkan 60 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata, hampir 80 peratus daripada pelanggan restoran itu terdiri daripada pelanggan setia restoran mereka terdiri daripada individu, korporat, individu dan sahabat handai.

Menu kampung yang menjadi pilihan pelanggan di Restoran LAUK di Kompleks KPPMS, Seksyen 3, Shah Alam.

Hayatie berkata, sebagai usaha untuk meluaskan pasaran LAUK, beliau dan Yuha menerima tempahan prapesanan ‘lunch box’ untuk makan tengah hari, minum petang dan malam.

"Kami menerima sekurang-kurangnya 300 tempahan pada setiap hari terutamanya daripada syarikat dan kilang sekitar Shah Alam dan Puncak Alam. Selain itu, kami juga turut menerima tempahan makanan untuk majlis perkahwinan sekitar Lembah Klang.

"Tempahan untuk majlis perkahwinan bermula daripada 250 pek dan ke atas dan kebanyakan menu yang dipilih ialah masakan berasaskan ayam kampung. Tempahan boleh dilakukan dua minggu awal untuk memudahkan kami membuat persediaan,” katanya.

Buat masa sekarang, LAUK menawarkan enam produk RTE yang dihasilkan menggunakan teknologi retort bagi membolehkan pelanggan menikmati makanan berkenaan di mana-mana sahaja seperti mana yang dihidangkan di Restoran LAUK.

Restoran LAUK menerima tempahan ‘lunch box’ pada setiap hari.

"Terdapat enam produk yang ditawarkan dalam pek RTE seperti gulai ayam kampung, kerutuk ayam kampung, ayam goreng kampung dan rendang hijau ayam kampung, rendang rembau daging dan rendang hijau daging. Mereka boleh menyediakan makanan ini dengan cara peknya direndamkan dalam air panas atau memanaskannya dalam microwave,” katanya.

Hayatie berkata, produk RTE yang dihasilkan itu tidak mempunyai bahan pengawet dan boleh digunakan dalam masa setahun tarikh ia dibungkus.

Antara produk LAUK yang menjadi pilihan utama pelanggan.

"Kebanyakan pembeli ialah pelanggan restoran ini dan mereka yang melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung,” katanya.

Pelan pemasaran

Sementara itu, menurut Chef Yuha, Restoran LAUK akan memperkenalkan ‘nasi bajet serendah RM5 yang akan menawarkan nasi, ayam goreng, kuah dan sambal belacan.

"Kami juga memberikan pilihan ikan keli goreng dan akan memperkenalkan ayam goreng kampung mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Menerusi pakej nasi bajet, katanya, LAUK mempelawa mereka yang berminat untuk menjadi ejen kepada jenama berkenaan dengan mengikuti Facebook dan Instragram LAUKAYAMKAMPUNG.

Produk RTE LAUK menjadi pilihan mereka yang melakukan aktiviti lasak.