Ajal ketika berbasikal

Iklan
Seorang kakitangan Majlis Daerah Kampar meninggal dunia ketika menjalankan aktiviti berbasikal bersama tiga rakannya di Jambatan Kampung Baru Kuala Dipang, pada Isnin - Foto hiasan 123RF

KAMPAR - Seorang kakitangan Majlis Daerah Kampar meninggal dunia ketika menjalankan aktiviti berbasikal bersama tiga rakannya di Jambatan Kampung Baru Kuala Dipang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang apabila mangsa, Azeril Sahaharuddin, 44, bersama dua lagi rakan sekampung berbasikal dari Batu Karang ke Kampung Baru Kuala Dipang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian mangsa yang bekerja sebagai kerani tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri.

"Berdasarkan maklumat pengadu yang juga adik mangsa mendapati abangnya terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan.

Iklan

"Saksi yang bersama-sama menunggang ketika kejadian memaklumkan, setibanya di Jambatan Kampung Baru, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal basikalnya lalu terjatuh sebelum tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kampar dan menerima rawatan awal daripada Pegawai Perubatan sebelum disahkan telah meninggal dunia.

Iklan

Dalam pada itu, mangsa dimaklumkan mempunyai penyakit kencing manis dan gout sejak lima tahun lalu dan menjalani rawatan berkala di Hospital Kampar sebulan sekali.

Menurut Hasron, bedah siasat yang dijalankan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dan punca kematian mangsa disebabkan Coronary Artery Disease.