Mualaf didakwa tikam adik guna gunting

Iklan
Seorang penganggur yang juga mualaf dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menikam adik lelakinya menggunakan gunting sehingga menyebabkan kecederaan parah, pada minggu lepas. Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur yang juga mualaf dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menikam adik lelakinya menggunakan gunting sehingga menyebabkan kecederaan parah, pada minggu lepas.

Muhammad Miqail Cheam Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Iklan
Iklan

Lelaki itu dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas adik lelakinya, Cheam Tong Yee, 31, di sebuah flat di Cheras di sini, pada 4.15 petang, 13 Jan lepas, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan Tong Yee yang bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat, ditikam di bahagian tangan, bahu, dada serta paha dan kini berada dalam keadaan stabil di sebuah hospital swasta dekat sini.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh kerana khuatir dia akan mencederakan semula mangsa memandangkan mereka tinggal serumah.

Bagaimanapun, Muhammad Miqail yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah membenarkan ikat jamin dengan jumlah rendah atas alasan dia kini tidak bekerja.

Iklan

Kamarudin kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan lantikan peguam berserta serahan dokumen.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, tidak tinggal serumah dengan mangsa, melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. - Bernama