Parit dibina tanpa kebenaran tuan tanah

Iklan
Rohani menunjukkan parit yang dibina tanpa kebenaran atas tanah miliknya di Taman Perumahan Melayu Kampung Kenangan, Batu Anam, Segamat, pada Selasa.

SEGAMAT - Seorang pemilik tanah di Taman Perumahan Melayu Kampung Kenangan, Batu Anam di sini meminta pejabat daerah supaya segera mengalihkan parit yang dibina atas tanahnya tanpa kebenaran.

Pemiliknya, Rohani Mohamed, 41, berkata, keluarganya sudah memohon supaya parit tersebut ditutup semula kerana akan membina rumah di atas tapak tanah seluas kira-kira suku ekar itu.

Iklan
Iklan

"Parit ini dibuat kira-kira empat atau lima tahun lalu dan dikatakan projek tebatan banjir. Parit itu dibina di bahagian tengah tanah saya yang berkeluasan lebih 2 meter dan dalamnya lebih kurang 1 meter.

"Pihak berkenaan membina parit ini tanpa memohon kebenaran saya dan keluarga. Apabila saya datang mengukur tanah untuk pelan rumah, tiba-tiba sudah ada parit besar merintangi tanah saya," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Iklan

Rohani berkata, pihaknya kerugian hampir RM9,000 selepas mengeluarkan kos untuk mengukur dan membina pelan membina rumah itu sebanyak tiga kali sejak beberapa tahun lalu yang kini tertangguh.

Pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Tanah Daerah Segamat dan membuat laporan polis pada 1 Disember lalu supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin selain menyiasat kesahihan projek tersebut.

Iklan

Dia berkata, keluarganya sudah 'letih' dengan penyelesaian dan dolak-dalih beberapa pihak dalam menyelesaikan isu tersebut.

Katanya, projek berkenaan yang melibatkan sebuah parti politik dan beberapa pihak lain semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, dilihat meragukan kerana lokasi tersebut bukan kawasan banjir.

Justeru katanya, pihak terbabit seperti pejabat tanah dan parti politik berkenaan perlu segera menyelesaikan masalah itu sebelum tindakan undang-undang diambil termasuk saman terhadap pihak bertanggungjawab.

Menurut Rohani, pihak berkenaan boleh mengalih atau melencongkan parit itu ke tanah berhampiran milik kerajaan yang hanya beberapa meter dari tanahnya bagi membolehkan air parit dapat mengalir dan tidak tersekat.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Tanah Daerah Segamat berkata, pihaknya ada menerima aduan dan perkara itu sedang dalam siasatan sama ada dibina pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau mana-mana pihak.