Penembak negara ceburi bidang perniagaan

Iklan
Alia Sazana menunjukkan makanan berkonsepkan makanan Vietnam yang sering menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke restoran miliknya di Gong Badak. - Foto Bernama

DIDORONG keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu, penembak kebangsaan Alia Sazana Azahari mengambil langkah berani membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan Vietnam sejak Mac tahun lalu.

Hasil wang simpanannya termasuk daripada hadiah kemenangan dalam pelbagai kejohanan, gadis berusia 30 tahun yang lebih mesra dipanggil Sasa itu memulakan perniagaannya bermodalkan kira-kira RM200,000.

Iklan
Iklan

Kini Alia Sazana mampu tersenyum bangga apabila restoran yang dinamakan Sasa Vietnamese Coffee House, bertempat di Jalan Rimba Square di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

"Segalanya bermula apabila saya cuti selama tiga bulan pada 2019 dan membantu ibu saudara yang turut membuka restoran ala Vietnam di Chendering (di Kuala Terengganu). Jadi saya pun terfikir untuk buat perkara yang sama (buka restoran).

Iklan

"Lagipun sejak kecil saya telah dididik oleh ayah (Azahari Abdul Talib, 56) dan ibu (Saidah Salleh, 48) supaya pandai menguruskan kewangan.

"Jadi saya tidak mahu membazirkan duit kemenangan pingat untuk sesuatu yang tidak berfaedah dan restoran ini juga sebagai jaminan pada masa hadapan saya,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Uniworld College di Sydney, Australia ketika ditemui di restorannya.

Iklan

Alia Sazana berkata, beliau mempelajari pelbagai resepi asli masakan Vietnam daripada ibu bapanya memandangkan kedua-dua mereka berasal dari Vietnam.

"Restoran ini dibuka setiap Rabu sehingga Isnin, dari 11.30 pagi sehingga 10 malam. Saya mempunyai 10 pekerja yang membantu operasi restoran. Selain itu restoran ini juga menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan melalui Foodpanda,” katanya yang bersyukur kerana kini telah mempunyai ramai pelanggan setia.

Meskipun sibuk menjalani latihan di Kuala Lumpur, namun atlet dalam disiplin air pistol itu sentiasa memantau perjalanan perniagaannya secara dalam talian dan ibu bapanya pula berada di restoran setiap hari membantu menguruskan perniagaan.

Ditanya mengenai perkembangan karier sukannya, gadis yang fasih berbahasa Vietnam itu mengimpikan untuk bersaing dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijangka berlangsung pada Julai tahun ini.

"Sekiranya ada rezeki untuk pergi (ke sukan Olimpik), saya akan ‘all out’ kerana sukan Olimpik adalah penghargaan yang terbesar dalam dunia sukan...hanya mereka yang benar-benar layak akan dapat ke temasya sukan itu,” katanya.

Berikutan beberapa kejohanan terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19, Alia Sazana tetap menjalani latihan melalui penyertaan beberapa perlawanan antarabangsa antaranya perlawanan persahabatan yang dianjurkan pasukan Singapura.

"Alhamdulillah pelbagai kejohanan secara dalam talian telah dianjurkan jadi dapat lah kami mengekalkan semangat persaingan. Atlet tidak boleh hanya berlatih sahaja, perlu juga berhadapan dengan pihak lawan supaya rasa hendak berjuang itu sentiasa ada,” katanya.

Alia Sazana yang memulakan kariernya pada tahun 2007, merangkul pingat emas pertamanya buat Terengganu pada sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan selepas itu meraih pelbagai kemenangan termasuk pingat emas sukan SEA Singapura 2015 dan sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta gangsa pada sukan Komanwel Gold Coast 2018 dalam acara 25 meter pistol. - Bernama