Wanita Malaysia antara kes baharu Covid-19 di Singapura

Iklan
Gambar hiasan.

SINGAPURA - Wanita Malaysia berusia 66 tahun adalah satu daripada dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, warga emas yang juga pesara itu adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan tinggal di negara itu sejak Januari tahun lepas.

Iklan
Iklan

Dilabelkan sebagai kes 59395, wanita berkenaan adalah ahli keluarga kepada kes 59365, iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road di sini.

Lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 16 Januari.

Iklan

MOH memaklumkan bahawa wanita berkenaan didapati mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (ARI) dan cirit-birit pada 9 Januari lepas dan kehilangan rasa pada 14 Jan, namun belum mendapatkan rawatan.

Setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes 59365, wanita terbabit telah dihubungi oleh MOH pada 16 Jan dan menjalani ujian Covid-19 apabila menunjukkan mempunyai gejala.

Iklan

Setelah ujian wanita berkenaan menunjukkan positif Covid-19 pada keesokannya, pesakit kemudiannya dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.

"Ujian menunjukkan dia positif. Bersama dengan gejala Covid-19, ini menunjukkan kemungkinan jangkitan baru-baru ini bermula pada 9 Jan," menurut MOH.

Wanita itu adalah salah satu daripada kes berkaitan dengan kluster kes 59280 dengan enam kes disahkan positif.

Kes 59280 adalah rakan kes 59365, dilaporkan pada 14 Jan membabitkan lelaki warga Singapura berusia 32 tahun yang bekerja sebagai doktor haiwan di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road.

Sementara itu, seorang lagi warga Malaysia, lelaki berusia 30 tahun adalah antara 12 kes import dilaporkan pada Isnin.

Lelaki berkenaan adalah pemegang permit kerja tiba dari Malaysia didapati tidak bergejala dan dilabel sebagai kes 59390, menurut MOH.

Setakat tengah hari, Singapura melaporkan 14 kes baharu membabitkan 12 kes import dan dua jangkitan tempatan menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di republik itu sebanyak 59,127.

Tiada kes membabitkan asrama pekerja asing. - Bernama