JOHOR BAHRU - Sepasukan pegawai dan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan Ops Limau ke atas sebuan premis di Iskandar Puteri, semalam.
Serbuan sekitar jam 9.40 malam itu dilakukan bersama pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata, seramai 17 individu ditahan dalam ops mengenai judi catit taruh lumba kuda tanpa lesen itu.
Menurutnya, kesemua tangkapan terdiri daripada penganjur, pemilik premis dan pemain yang berusia antara 21 hingga 63 tahun.
"Polis turut merampas wang tunai RM22,375, dua buah komputer riba, dua buah pager, 38 helai kertas tercatit angka-angka judi lumba kuda tanpa lesen dan satu modem internet.
"Selain itu, sebuah buku di dalam tercatit angka-angka judi lumpa kuda tanpa lesen, seutas beg silang, dua helai surat khabar Cina serta dua batang pen berdakwat hitam," katanya di sini hari ini.
Md Yusof berkata, kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)b Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.