Wang RM400,000 'pulih' rumah tangga lesap

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123rf

KUALA TERENGGANU - Bukan sahaja rumah tangga tidak dapat diselamatkan seperti dijanjikan, malah seorang wanita turut menanggung kerugian hampir RM400,000 akibat diperdaya individu yang menawarkan perkhidmatan membantu memulihkan pergolakan dalam perkahwinan.

Mangsa berusia 48 tahun hanya menyedari dirinya diperdaya wanita tidak dikenali itu selepas hampir dua tahun melakukan transaksi ke dalam beberapa akaun diberikan, namun masih tidak nampak hasil seperti dijanjikan, bahkan rumah tangganya juga musnah.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, mangsa tidak mengenali suspek dan hanya diperkenalkan kenalan semasa rumah tangganya sedang bergolak kononnya suspek boleh dijadikan 'orang tengah' yang mampu memulihkan semula hubungannya bersama suami.

Menurutnya, mangsa difahamkan mula melakukan transaksi bayaran sejak awal Disember 2019 lagi dan berlarutan sehingga tahun ini yang mencecah hampir RM400,000.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, suspek masih meminta wang sehingga tergamak mengugut sekiranya gagal melakukan transaksi seperti diminta.

"Selepas diberi kepercayaan, suspek beberapa kali meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan kononnya sebagai caj perkhidmatan dan berlarutan sehingga ke hari ini dengan alasan dia hendak membayar hutang.

Iklan

"Setiap kali mangsa mengelak untuk tidak mahu memasukkan lagi wang, dia akan mengugut untuk menceritakan segalanya kepada keluarga dan bekas suami wanita tersebut.

"Mangsa mula hilang kepercayaan kepada suspek kerana rumah tangganya tidak dapat diselamatkan seperti dijanjikan, selain suspek gagal menunjukkan bukti pembayaran setiap kali diminta.

"Yakin dirinya sudah ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang pada Sabtu untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai agar jangan terlalu mudah percaya dan berhati-hati lebih-lebih lagi melibatkan transaksi wang bagi mengelak diri ditipu.