Mesyuarat menteri digital ASEAN pertama secara maya

Iklan
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN Yang Pertama (ADGSOM1) yang diadakan secara maya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) bermula pada Selasa dengan didahului Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN Yang Pertama (ADGSOM1).

Diadakan secara maya, ADGSOM1 dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Iklan
Iklan

Mesyuarat itu bermula dengan ucapan perasmian oleh Phavanhna Douangboupha dari Laos, yang akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi.

Antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat dua hari itu ialah Dana ICT ASEAN (AICTF), Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM 2025), pelaksanaan aktiviti kitaran kerja 2020 dan penyampaiannya serta laporan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Siber ASEAN yang pertama.

Iklan

ADGSOM1 juga akan bersambung hari ini menyaksikan telesidang dengan rakan dialog - Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India dan Kesatuan Eropah (EU) - dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Mesyuarat kemudian akan diteruskan dengan ADGMIN1 pada Khamis (21 Januari) yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan ucap tamanya, secara maya.

Iklan

Bertemakan ASEAN- a Digitally Connected Community (ASEAN - Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital) mesyuarat itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-Covid-19.

ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 adalah sebuah pertubuhan serantau terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama