SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian untuk menolak kerjasama dengan DAP kerana sikap parti itu yang ekstrem dan suka mencampuri urusan orang Islam.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sikap itu sudah ditunjukkan parti berkenaan ketika bersama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Pengalaman kita dengan DAP, dia sering kali campur tangan dalam urusan untuk pelaksanaan (undang-undang Islam), padahal ia hanya melibatkan orang Islam.
"Bila kita hendak laksanakan hukum Islam mereka gelabah. Mereka tidak setuju padahal kita tidak ganggu hidup mereka (tetapi) mereka ganggu hal kita.
"Jadi sebab itu kita tolak kerjasama dengan DAP (dan) menolak kawan-kawan yang kita rasa yang mesra dengan DAP," katanya pada program bual bicara Minda Profesor Negara 'Bicara Negarawan' Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita? yang disiar secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerjasama antara Pas dan DAP ketika dalam Pakatan Rakyat yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini hanya bersifat untuk mendapat kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) semata-mata.
"Bila sampai hendak realisasikan Perlembagaan terdapat percanggahan (oleh DAP) contohnya kita hendak tegakkan Islam dalam perlembagaan," katanya.