Pemuda UMNO sokong gerakan jihad memulihkan moral bangsa

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik gerakan yang dipelopori pihak Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad untuk memulihkan moral bangsa.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jihad tersebut perlu dalam usaha memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggui negara ketika ini.

Iklan
Iklan

"Pemuda UMNO percaya, usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama agar ia dapat memastikan budaya bobrok ini tidak terus merebak dan menjadi barah yang menghancurkan bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, hasil kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 22.1 peratus responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau pangkat.

Iklan

Malah, Bank Dunia juga ada menyatakan kira-kira 51.4 peratus firma atau syarikat pembuatan di Malaysia bersedia menawarkan ganjaran atau hadiah untuk mendapatkan sebarang kontrak.

"Lebih menyedihkan apabila kajian yang dijalankan SPRM terhadap pelajar universiti menunjukkan lebih 30 peratus pelajar menyatakan kesanggupan menerima rasuah jika keadaan mendesak dan memerlukan.

Iklan

"Ini menunjukkan pemahaman terhadap kesan rasuah ini tidak tersemat dalam nilai peribadi seseorang," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, rata-rata rakyat Malaysia sememangnya tidak menyukai perbuatan tersebut, namun ia tidak bermakna seseorang itu akan membuat laporan sekiranya terlihat perkara ini berlaku di hadapan mata mereka.

"Lantas, Pemuda UMNO ingin menyeru seluruh ahli UMNO khususnya pemuda-pemuda pewaris perjuangan untuk kita menanam tekad dan keazaman bersama-sama melawan dan membasmi rasuah dan segala amalan yang terkait dengannya!" tegas beliau.

Ujarnya, tuntutan agama dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah negara berintegriti, bermoral dan punya sistem tadbir urus yang baik perlu diangkat.

"Malah ia perlu dijadikan agenda perjuangan setiap warga parti terutamanya generasi muda selaku pewaris bagi memastikan maruah bangsa dan martabat negara tidak sesekali dikorbankan," katanya.