SEREMBAN - Kompleks Mahkamah Seremban dan Mahkamah Kuala Pilah ditutup sementara berikutan seramai 16 Orang Kena Tahan (OKT) yang dibawa ke mahkamah tersebut disahkan positif Covid-19.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, seramai 22 OKT telah dibawa ke mahkamah pada 7 dan 8 Januari lalu, bagaimanapun hanya 16 daripadanya disahkan positif.
Iklan
Iklan
"Saya menerima laporan berkenaan 16 OKT berkenaan didapati positif Covid-19 di Kompleks Mahkamah Seremban 2. Dimaklumkan juga, ada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang hadir ke Mahkamah Kuala Pilah untuk pertuduhan kes juga didapati positif Covid-19.
"Selain itu, saya juga dimaklumkan terdapat juga pegawai di mahkamah yang disahkan positif Covid-19 pada hari ini (Selasa). Disebabkan itu, semua Kompleks Mahkamah Seremban dan Kuala Pilah ditutup selama dua minggu untuk tujuan sanitasi," katanya di sini pada Selasa.
Veerapan berkata, beliau telah meminta Jabatan Kesihatan Negeri untuk menyiasat kes berkenaan dan meminta supaya maklumat terkini berkenaan isu Covid-19 di kedua-dua kompleks mahkamah tersebut diberikan.
Beliau berkata, semua rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi melandaikan penularan Covid-19.