Pemilik kedai cuci kereta bingung operasi niaga tidak selaras

Iklan
Pemilik kedai cuci kereta bingung dengan tindakan segelintir pihak berkuasa tempatan (PBT) yang seolah-olah bersikap selektif berkenaan isu pengoperasian perniagaan tersebut. Gambar kecil dari kiri: Mustapha Mohd Nor, Harveen Sankar Sivasankar.

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pemilik kedai cuci kereta bingung dengan tindakan segelintir pihak berkuasa tempatan (PBT) yang seolah-olah bersikap selektif berkenaan isu pengoperasian perniagaan tersebut.

Mustapha Mohd Nor, 51, yang merupakan seorang pemilik kedai cuci kereta di Pusat Bandar Puchong berkata, dia mendapat maklumat daripada PBT kawasannya mengatakan bahawa kedai cuci kereta tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Iklan
Iklan

Namun berdasarkan pemerhatiannya, PBT di kawasan lain seperti Sepang dan Bangi masih membenarkan premis tersebut dibuka walaupun ada yang beroperasi secara haram.

"Saya hairan mengapa pihak kerajaan tidak memberi kata putus berkenaan operasi perniagaan cuci kereta kerana jika kami tidak boleh beroperasi, macam mana kedai lain boleh dibuka?

Iklan

"Pada saya, pelaksanaan SOP di peringkat PBT tidak sekata dan selaras,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mustapha yang sudah menjalankan perniagaan tersebut lebih 15 tahun itu juga meminta sedikit kelonggaran daripada kerajaan untuk mereka beroperasi kerana sewa kedai dan tempat letak kereta masih perlu dibayar.

Iklan

"Saya minta kerajaan juga mengutamakan pengusaha kecil seperti kami dan tidak hanya memberi fokus kepada industri yang besar kerana kami juga mencari rezeki seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Harveen Sankar Sivasankar, 22, pemilik kedai cuci kereta di Alam Budiman, Shah Alam juga meluahkan keresahan apabila tidak dibenarkan beroperasi walaupun sudah mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Harveen memaklumkan kepada Sinar Harian, pada awalnya pihak PBT memberitahu kedainya tidak boleh beroperasi kerana tidak mendapat kebenaran daripada MITI.

"Tetapi bila kami mendapat kebenaran daripada MITI pada Ahad dan dibenarkan beroperasi pada Isnin, pihak polis datang ke kedai dan masih tidak benarkan kami membuka kedai.

"Saya ada juga menghubungi kawan saya di Kapar untuk bertanyakan tentang perkara ini, dan pihak PBT di sana membenarkan mereka untuk beroperasi seperti biasa.

"Saya mendakwa masalah ini terjadi kerana tiada komunikasi wujud antara PBT di kawasan ini dengan kawasan yang lain dan perkara ini menyusahkan pemilik perniagaan seperti kami,” katanya.

Harveen berkata, pihaknya sangat terkesan dengan PKP pada kali ini kerana kerajaan seolah-olah tidak membantu kurangkan beban pihaknya.

Ujarnya, sewaktu PKP tahun lepas, kerajaan masih membantu mereka dari segi diskaun pembayaran sewa kedai.

"Kali ini, nampaknya saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar sewa kedai dan gaji pekerja kami kerana kami masih tidak dibantu dari segi itu,” katanya.