KUALA TERENGGANU- Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berterima kasih di atas segala ucapan dan doa orang ramai terhadapnya dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Pasangan itu yang disahkan positif Covid-19 pada Selasa, mengharapkan berkat doa dan dengan izin ALLAH SWT, mereka berupaya mengharungi dugaan itu.
"Saya harap selepas ini dapat kembali memberi perkhidmatan semula dengan lebih baik lagi," katanya dalam coretan di Facebook rasminya, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu menjelaskan, mereka berdua telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Poliklinik Ibnusina, Kemaman pada Ahad lalu.
Jelasnya, dia berasa kurang selera makan tanpa gejala yang lain sejak beberapa hari lalu.
"Hari ini (Selasa) saya menerima keputusan bahawa saya telah disahkan positif Covid-19.
"Isteri saya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud juga membuat ujian saringan Covid-19 (swab test) bersama kerana selesema dan turut disahkan positif.
"Pada masa ini, kami berdua sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," katanya.
Sebelum itu, UMNO Kemaman dalam kenyataan rasminya memaklumkan pasangan itu sedang mendapatkan rawatan setelah disahkan positif Covid-19.