Tuntut sidang Parlimen taktik UMNO alih perhatian?

Iklan

PELAKSANAAN darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah memasuki usia seminggu.

Bagaimanapun, polemik ketidakpuashatian pihak pembangkang dan sebilangan pemimpin UMNO terhadap proklamasi diperkenankan Yang di-Pertuan Agong itu masih kedengaran sehingga kini.

Iklan
Iklan

Bermula dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat kepada semua ahli Parlimen bagi memohon sokongan pembatalan proklamasi darurat.

Beliau dan pihak pembangkang kemudiannya mengumumkan hasrat mencabar langkah itu di mahkamah.

Iklan

Terkini, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menghantar surat kepada semua ahli Parlimen parti itu pada Isnin.

Isi kandungan surat berkenaan difahamkan bertujuan meminta sokongan mereka bagi menuntut kerajaan mengadakan satu sidang Parlimen khas berhubung isu darurat.

Iklan

Beberapa ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman sudah mengumumkan penolakan cadangan itu atas beberapa alasan tersendiri.

Hakikatnya, berasaskan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana dirujuk Ahmad Maslan, tuntutan kerajaan mengadakan sidang Parlimen khas pada saat proklamasi darurat dikuatkuasakan bukan satu kesalahan.

Bagaimanapun, pada saat ancaman Covid-19 semakin kritikal dengan sebahagian besar rakyat terkesan dengan pandemik itu, tuntutan itu sebenarnya tidak perlu disegerakan.

"Permohonan (adakan sidang Parlimen khas) memang tidak ada masalah, tetapi adakah perlu disegerakan? Saya lebih memikirkan kebajikan rakyat...Bagi saya, keperluan utama negara adalah membela rakyat ketika ini.

"Lagipun, tempoh sepatutnya sidang Parlimen diadakan masih lambat lagi iaitu pada bulan Mac hadapan. Sekarang bukan masanya lagi," kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Sinar Harian pada Selasa.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turut menjelaskan kesemua ahli Parlimen UMNO dan BN akan berbincang sesama mereka terlebih dahulu sebelum menjawab seruan Ahmad Maslan itu.

Sehingga satu keputusan muktamad dibuat, beliau mendedahkan majoriti ahli Parlimen BN tidak akan bersetuju dengan sebarang usaha mengadakan sidang Parlimen khas pada saat darurat dilaksanakan.

"Lagipun tuntutan pelaksanaan sidang Parlimen khas berkenaan hanya diputuskan melalui Biro Politik UMNO dan tidak dibincangkan lagi dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

"Jadi tuntutan itu saya anggap bukan melalui parti," ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan tiada masalah persidangan Parlimen diadakan pada tempoh darurat sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.

Namun sekiranya sidang berkenaan dijadikan platform untuk menyanggah langkah pelaksanaan darurat dititahkan Yang di-Pertuan Agong atau bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada, Mohd Izani menganggapnya sebagai membuang masa.

"Saya lebih melihat tuntutan terbaru UMNO ini sebagai usaha mengalihkan perhatian akar umbi daripada krisis dalaman parti yang semakin kronik.

"Umum mengetahui di sebalik gesaan ahli parti itu mahu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sudah jelas kedengaran suara sebahagian akar umbi yang menuntut pucuk kepimpinan UMNO dirombak dengan pemilihan parti disegerakan.

"Kesimpulannya, langkah terbaharu UMNO ini membuktikan krisis dalaman UMNO semakin parah dengan parti itu kini jelas berdepan kesukaran untuk bersolidariti dalam membuat satu keputusan penting," katanya.