SHAH ALAM - ALLAH SWT menjanjikan balasan azab neraka kepada pemberi dan penerima rasuah ekoran perbuatan itu yang disifatkan sangat jijik serta kotor dalam Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, balasan bagi perbuatan rasuah itu sememangnya sudah jelas berpandukan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ‘penerima dan pemberi rasuah berada dalam api neraka’.
Menurutnya, rasuah adalah suatu perbuatan yang amat terkutuk kerana seperti diketahui punca rasuah berlaku kerana seseorang itu mahu mendapatkan sesuatu yang bukan haknya sehingga menafikan hak orang lain.
"Contohnya seseorang nak dapatkan suatu kontrak membuat sesuatu pembangunan atau prasarana, dia tak dapat akhirnya dia akan memberikan rasuah kepada pihak-pihak tertentu menyebabkan dia dapat kontrak itu.
"Orang yang sepatutnya dapat pula ditolak permohonannya. Jadi dalam situasi ini, dia menafikan hak orang lain. Situasi itu berbeza dengan jika kedua-duanya berusaha tanpa ada sebarang sogokan atau rasuah,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Tamyes memberitahu, disebabkan itu kerajaan pada hari ini dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memang sentiasa membuat pengawasan secara berkala untuk terus membendung gejala rasuah di negara ini.
"Bila ada aduan sahaja dan adanya bukti tertentu, kerajaan terus ambil tindakan. Syabas kepada SPRM dan pihak kerajaan yang cuba untuk mengatasi masalah rasuah ini.
"Sekiranya dibiarkan, budaya rasuah akan membuatkan orang yang jujur akan terus ditindas dan mereka tidak dapat peluang sampai bila-bila,” katanya.
Menurutnya, situasi itu akan menjadikan mereka yang mempunyai kuasa, tenaga, wang dan segala kelebihan lain akan bermaharajalela dan mewujudkan situasi wang adalah kuasa atau the money is power.Sehubungan itu, Mohd Tamyes mengingatkan masyarakat agar membuka mata dan sedar bahawa perbuatan merasuah dan menerima rasuah adalah semata-mata untuk menjadikan hidup mereka itu senang di dunia.
"Senang di dunia sebenarnya hanya sementara. Hidup di dunia adalah sekejap sahaja kerana nisbah hidup 1,000 hari di dunia hanya satu hari di akhirat.
"Kita nak menghadapi hidup di akhirat nanti yang panjang dan lamanya 500 tahun siang dan 500 tahun malam. Kalau bergelumang dengan dosa, macam mana kita nak mengelakkan daripada azab ALLAH,” katanya.