Evolusi majlis pelantikan Presiden AS

Iklan
Hampir 200,000 bendera menghiasi dataran National Mall ketika persiapan akhir sedang dilakukan menjelang majlis pelantikan Presiden ke-46 AS, Joe Biden bersama Naib Presiden, Kamala Harris pada Rabu. - Foto: AFP

WASHINGTON - Majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) telah berkembang mengikut peredaran masa sejak pelantikan Presiden Pertama, George Washington pada 1789 dan tahun ini menyaksikan acara itu diadakan buat kali ke-59.

Upacara itu juga adalah ‘paling mudah’ kerana Presiden baharu hanya perlu membaca teks pendek mengandungi 35 perkataan ketika majlis angkat sumpah tersebut.

Iklan
Iklan

Tetapi, ia telah menyaksikan perubahan sejak lebih beberapa dekad lalu dan setiap Presiden AS mempunyai momen dan gaya tersendiri yang terus diingati hingga kini.

Pada Rabu, majlis pelantikan bakal Presiden ke-46 AS, Joseph R Biden Jr atau Joe Biden, 78, dan bakal Naib Presiden, Kamala Harris, 56, juga akan menyaksikan kedua-duanya cuba untuk menyeimbangkan tradisi dan cabaran pada masa sekarang.

Iklan

Ia berikutan acara bersejarah itu diadakan di tengah-tengah ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi selain pergolakan politik yang melanda AS hingga memaksa kawalan keselamatan diperketatkan buat pertama kali sejak tragedi 9/11.

Pada kali ini, perarakan ke Rumah Putih akan digantikan dengan acara berarak secara maya sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang telah meragut hampir 400,000 nyawa penduduk Amerika.

Iklan

Angkat sumpah

Setiap Presiden AS perlu melafazkan ikrar angkat sumpah seperti termaktub dalam Perlembagaan, ‘Saya mengangkat sumpah bahawa saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden AS dengan jujur dan amanah. Saya juga akan sedaya upaya memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan AS.’

Sumpah jawatan itu telah diucapkan sebanyak 72 kali oleh 45 Presiden AS terdahulu.

Presiden ke-14 AS, Franklin Pierce pada 1853 menjadi Presiden AS pertama memilih perkataan ‘menegaskan’ berbanding ‘bersumpah’ malah beliau juga memecahkan tradisi apabila tidak mencium kitab Bible seperti dilakukan para pendahulunya.

Selain itu, Presiden ke-36 AS, Lyndon B Johnson menjadi satu-satunya pemimpin yang mengangkat sumpah jawatan di dalam pesawat rasmi Presiden, Air Force One sebelum ia berlepas dari Dallas ke Washington sebagai langkah berjaga-jaga selepas pendahulunya, John F Kennedy maut ditembak pada 22 November 1963.

Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter (kiri) bersama isteri dan anaknya berjalan kaki dari Pennsylvania Avenue ke Rumah Putih pada hari pelantikan beliau pada 1977. - Foto: Agensi

Majlis angkat sumpah jawatan Presiden ke-44 AS, Barack Obama juga mencatatkan keunikan tersendiri.

Presiden kulit hitam pertama itu yang berjaya mengekalkan penggal kedua pentadbirannya di Rumah Putih melafazkan ikrar tersebut sebanyak dua kali untuk memastikan ia diucapkan dengan sempurna.

Presiden Pertama AS, George Washington dikenali sebagai seorang pemimpin yang kurang bercakap dikatakan hanya berucap sebanyak 135 patah perkataan pada majlis pelantikannya.

Pada 1817, Presiden kelima AS, James Monroe menjadi Presiden pertama yang mengangkat sumpah jawatan dan berucap di hadapan bagunan Old Brick Capitol.

Presiden kesembilan AS, William Henry Harrison pula menjadi Presiden berucap dengan panjang lebar berikutan teks ucapannya mempunyai 10,000 patah perkataan pada 1841.

Lokasi acara, tarikh

Presiden pertama AS, George Washington mengangkat sumpah jawatan di Federal Hall di New York dan kemudiannya berucap di Dewan Senat.

Pada 1797, Presiden kedua AS, John Adams mengangkat sumpah jawatan di Dewan Kongres di Philadelphia, manakala Presiden ketiga AS, Thomas Jefferson menjadi Presiden pertama yang berjalan kaki untuk ke acara tersebut yang diadakan buat pertama kali di bangunan Capitol.

Presiden ke-36 AS, Lyndon B Johnson mengangkat sumpah jawatan di dalam pesawat rasmi Presiden, Air Force One pada 22 November 1963 selepas pendahulunya, John F Kennedy maut ditembak. - Foto: Agensi

Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Presiden AS tidak semestinya diadakan pada bulan Januari.

Sebagai contoh, George Washington mengangkat sumpah pada 30 April 1779.

Pada abad ke-19, tarikh 4 Mac telah ditetapkan oleh Perlembagaan sebagai hari pelantikan Presiden AS.

Tetapi, pengesahan Pindaan ke-20 pada 1933 menetapkan tempoh jawatan Presiden dan Naib Presiden di bawah pentadbiran terdahulu akan berakhir waktu tengah hari pada tarikh 20 Januari.

Presiden pertama dilantik pada 20 Januari adalah Presiden ke-32 AS, Franklin D Roosevelt yang mengangkat sumpah jawatan penggal kedua pada 1937 yang turut dihadiri orang ramai tanpa menghiraukan cuaca sejuk dan hujan lebat pada ketika itu.

Momen paling diingati adalah apabila Presiden ketujuh AS, Andrew Jackson bersama penggantinya, Martin Van Buren menaiki kereta kuda bersama menuju ke Capitol sempena majlis pelantikan beliau yang menjadi detik simbolik ketika proses peralihan kuasa di Rumah Putih.

Difahamkan, kehadiran pendahulu bukanlah satu perkara yang wajib memandangkan pada 1801, John Adams pernah menjadi Presiden pertama yang tidak hadirkan diri ketika majlis pelantikan pengganti beliau.

Pada tahun ini, Presiden ke-45 AS, Donald Trump juga membuat keputusan sama enggan hadir pada majlis angkat sumpah jawatan Biden.

CORSSHEAD: Perarakan, majlis tarian, perkembangan teknologi

Acara perarakan memeriahkan majlis pelantikan penggal kedua, Presiden ke-16 AS, Abraham Lincoln yang turut disertai penduduk kulit hitam buat pertama kali pada 1865.

Golongan wanita juga menyertai perarakan buat pertama kali ketika acara pelantikan penggal kedua Presiden ke-28, Woodrow Wilson pada 1917.

Pada 1977, Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter menjadi Presiden AS pertama yang berjalan kaki sejauh kira-kira 1.6 kilometer ke Rumah Putih bersama Wanita Pertama, Rosalynn dan anak perempuan mereka, Amy, 9.

Presiden keempat AS, James Madison dan Wanita Pertama, Dolly pula menjadi pasangan pertama yang memulakan tradisi majlis tarian di Rumah Putih pada 1809 yang turut menawarkan tiket berharga AS$4 (RM16) pada masa tersebut.

Acara pelantikan Presiden AS juga menjadi platform untuk mempamerkan inovasi teknologi dan industri sejak beberapa dekad lalu.

Perkembangan teknologi pada 1845 membolehkan ucapan Presiden ke-11 AS, James K Polk dapat disampaikan kepada rakyat Amerika menerusi telegraf disusuli dengan pelantikan Presiden ke-25 AS, William McKinley pada 1897 yang dirakamkan menggunakan kamera dan Presiden ke-30 AS, Calvin Coolidge yang disiarkan menerusi radio.

Pada 1921, Presiden ke-29 AS, Warren G Harding menjadi Presiden pertama menaiki kereta ketika pelantikan beliau dan kemudiannya menyaksikan perkembangan teknologi dengan rekaan limousin kalis peluru ketika di bawah pentadbiran Presiden ke-36 AS, Lyndon B Johnson pada 1965. - Agensi