KOTA BHARU - Hari pertama sesi persekolahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama berlangsung dengan baik dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tinjauan Sinar Harian pada Rabu di beberapa sekolah sekitar Kota Bharu mendapati pelajar sama ada dihantar oleh ibu bapa atau datang sendiri memakai pelitup muka sebelum memasuki kawasan sekolah.
Ibu bapa yang menghantar anak-anak seawal jam 7 pagi juga turut mementingkan keselamatan diri dengan memakai pelitup muka.
Sebelum memasuki kawasan sekolah, guru-guru yang bertugas turut mengambil bacaan suhu badan dan juga pelajar wajib menggunakan cecair pembasmi kuman.
Sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19, bacaan suhu guru-guru juga turut dicatatkan di pintu masuk sekolah.
Di Kelantan terdapat kira-kira 177 sekolah menengah.
Pada Selasa, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya pelajar kelas peperiksaan di negeri PKP hadir ke sekolah
Tinjauan juga mendapati tiada pelajar yang duduk berkumpulan dan masing-masing kelihatan menjaga jarak fizikal selain meletakkan tangan di dada sebagai tanda bersalaman ketika bersua.
Sementara itu, seorang pelajar, Nik Muhamad Zaieril Nik Mahmud, 17, berkata, sebelum datang ke sekolah dia sudah memastikan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman juga dibawa bersama.
Katanya, 'mood' untuk kembali ke sekolah tidak ceria sebagaimana hari biasa kerana masing-masing tetap bimbang dengan jangkitan Covid-19.
"Namun saya yakin dengan persediaan awal dilakukan pihak sekolah sebelum memulakan sekolah dan disiplin diri sendiri yang mematuhi SOP akan menjadi pelindung buat saya untuk belajar dengan tenang,” katanya.