Harga minyak masak meningkat pada kadar rendah

Iklan
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan ialah pada kadar rendah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020.

Iklan

"Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik satu kilogram.

"Selebihnya sebanyak 0.28 juta tan tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol satu kilogram hingga lima kilogram dan tin 17 kilogram," katanya.

Iklan

Menurutnya, harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan pelbagai faktor seperti permintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia.

Mohd Khairuddin berkata, peningkatan harga MSM ini juga meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit menaik taraf sosio ekonomi mereka.

"Kementerian berharap harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi tahun ini supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut.

"Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM2.50 terutama bagi golongan B40," katanya.

Sabtu lalu, akhbar melaporkan pengguna resah selepas mendapati minyak masak dalam botol lima kilogram melonjak naik mencecah RM27.90 sebotol berbanding hanya antara RM21.50 hingga RM22.90 sebelum ini.

Harga minyak masak dalam botol dua kilogram yang dijual antara RM9.90 hingga RM11 sebotol turut mengalami peningkatan kepada RM12.50 hingga RM14 manakala minyak masak dalam paket kekal pada harga RM2.50 sepaket sekilogram.