Pesalah berdepan tindakan tegas

Iklan
Gobind ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha mengumpul sebaran maklumat palsu dan menyentuh sensitiviti rakyat negara berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, dekat Subang Jaya untuk dikenakan tindakan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata,SKMM sedang memantau rapi maklumat yang disiarkan di media sosial dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati pengguna atau penyebar maklumat tersebut didapati bersalah.

"Saya minta supaya rakyat Malaysia berhati hati keluarkan kenyataan bila kongsi maklumat menerusi WhatsApp, Facebook dan sebagainya, kita kena bertanggungjawab.

"Berkenaan isu itu ia sedang dikumpul dan akan diberikan kepada saya untuk dilihat secara terperinci dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong menasihati pengguna media sosial supaya mengawal perasaan apabila memberi komen tentang kekecohan yang berlaku di Kuil tersebut.

Beliau mengingatkan setiap rakyat negara ini perlu memainkan peranan bagi memastikan isu itu ditangani dengan sebaik mungkin dan sehubungan itu, mereka perlu lebih berhati-hati apabila memberi komen melalui media sosial bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.

Dalam perkembangan lain, mengulas pelantikan anggota lembaga pengarah baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Gobind berharap ia dapat diumum selewatnya minggu ini.

"Saya difahamkan terdapat mesyuarat Isnin lalu dan anggota Lembaga Pengarah baharu telah dilantik. Saya diberitahu pelantikan badan penasihat juga telah dibuat, saya akan bertemu pimpinan baharu ini dalam masa terdekat dan muktamadkan untuk diumum minggu ini termasuk Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Ketua Pengarah Finas Datuk Fauzi Ayob dan Timbalannya Datuk Azmir Saifudin Mutalib telah dipindahkan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan.

September lalu, media melaporkan lapan buah filem dengan geran RM1.2 juta hingga RM5 juta bagi setiap filem, gagal disiapkan dalam tempoh beberapa tahun sehingga 2016.