Remaja dituduh rogol murid Tahun Enam

Iklan
Tertuduh (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun.

KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan merogol seorang murid Tahun Enam di sebuah bilik di pusat tahfiz yang sudah tidak beroperasi tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, remaja tersebut yang ketika berusia 15 tahun didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun empat bulan di sebuah bilik di pusat tahfiz yang sudah tidak beroperasi di Pasir Tumbuh di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 3.30 pagi, 12 Jun 2020.

Iklan

Pendakwaan terhadap pelajar Tingkatan Empat itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun masih di bawah umur dan hukumannya tertakluk di bawah Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Muhammad Shahril Ramli, manakala remaja berkenaan diwakili peguam, Nik Mohd Nashriq Mohd Nazman.

Terdahulu, Muhammad Shahril mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun Nik Mohd Nasriq memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 25 Februari depan.