SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyumbangkan sebulan hasil gajinya untuk disalurkan ke Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19.
Menurut Amirudin, langkah itu adalah usaha permulaan kepada cadangan kerajaan negeri bagi melaksanakan pemotongan gaji meliputi Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai tinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk disalurkan ke tabung itu.
Bagaimanapun katanya, mekanisme pemotongan gaji melibatkan pihak terlibat akan dimuktamadkan selepas ini.
"Gaji yang dipotong itu akan disalurkan ke tabung berkenaan yang telah diaktifkan semula bagi membantu menangani penularan wabak Covid-19," katanya ketika pengumuman Pakej Kita Selangor yang dilaksanakan secara dalam talian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan sumbangan pihak korporat dan GLC menerusi pengaktifan semula tabung itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pakej Kita Selangor bantu rakyat hadapi cabaran PKP
Beliau berkata, pada tahun lalu, kerajaan negeri Selangor telah menerima sumbangan berjumlah RM9.3 juta dan ia digunakan bagi perbelanjaan petugas barisan hadapan dan bidang perubatan menangani Covid-19.
"Dan Alhamdulillah, pagi tadi (Rabu) kerajaan negeri menerima lagi sumbangan berjumlah RM2.3 juta untuk tabung tersebut," katanya.
Menerusi Pakej Rangsangan 2.0 tahun lalu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 Selangor bagi membolehkan rakyat serta syarikat korporat swasta menyalurkan bantuan dalam usaha menangani Covid-19.