SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Bersatu akan mengumumkan calon dari parti itu bagi menghadapi PRK Dun Semenyih pada 14 Februari nanti.
Perkara itu disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli dan pemimpin parti, di sini, tengahari tadi.
Begitupun, Muhyiddin enggan berkongsi maklumat lanjut berkenaan calon tersebut dan menegaskan semuanya akan dikongsi pada hari pengumuman kelak.
"Pada umumnya kita di bawah Bersatu dan PH sudah bersedia untuk menghadapi PRK.
"Hari untuk kita perkenalkan calon ialah pada 14 Februari akan datang berhampiran dengaan sebuah pasaraya.
"Saya, kalau tidak Tun (Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad) akan memaklumkan siapakah calon kita pada jam 4 petang,” katanya kepada pemberita selepas bertemu ahli dan pemimpin parti, di sini, tengahari tadi.
Tambah Muhyiddin, parti turut mengambil kira faktor anak tempatan dalam memilih calon sementelah ia banyak dibangkitkan pemimpin dan masyarakat setempat.
"Kita akan ambil kira faktor anak tempatan kerana dalam banyak pertemuan dengan pemimpin dan masyarakat setempat, mereka kata mahukan orang tempatan.
"Tapi (kita akan pilih) orang tempatan yang berkelayakan, berkemampuan, baik budi bahasa juga akan diambil kira selain terlibat dalam parti politik kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan tidak banyak isu besar melibatkan parti yang boleh menggugat perjalanan kempen Bersatu dalam PRK nanti.
"Saya fikir tiada isu besar, (jika ada isu) kita akan jelaskan. Isu kepimpinan tidak ada masalah, isu setiausaha kita, tiada isu pun, dia dah jawab, tak perlu jelaskan.
"Bagi saya yang penting jentera kita mesti bersatu dan bergerak dalam satu pasukan yang mantap kerana ini bukan satu pilihan raya yang mudah,” katanya.
PRK Dun Semenyih diadakan susulan pemergian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.