ALOR SETAR - Seramai 32,386 calon peperiksaan awam tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini bagi negeri Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Rabu.
Exco Pendidikan negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan 25,876 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 3,053 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 1, 3,095 calon STPM Semester 3 dan 362 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang melibatkan sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini.
Menurutnya, ini merupakan hari pertama pembukaan sekolah selepas ditangguh akibat penularan wabak Covid-19 dan pelajar kelihatan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan semula.
"Jadi saya harap mereka bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar di sini pada Rabu.
Najmi berkata, pembelajaran kali ini adalah secara bersemuka berbanding sebelum ini yang mana pelajar dan guru menjalankan sesi pembelajaran secara dalam talian.
"Satu lagi, sebelum ini tarikh peperiksaan penting seperti SPM, STPM dan STAM semua mengikut jadual yang telah ditetapkan tetapi ia tidak berjalan seperti biasa dan itu mungkin telah menyebabkan berlaku kejutan serta tekanan kepada pelajar.
"Tetapi, saya pasti pelajar dan ibu bapa memahami situasi yang sedang berlaku ini. Pembelajaran berjalan seperti biasa namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan ia telah menjadi normal baharu yang biasa kepada pelajar,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari bagi seluruh negara hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), STPM, STAM dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid.
Keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah mengambil kira jumlah kes jangkitan Covid-19 pada 16 Januari dan trend kes yang semakin meningkat kebelakangan ini.