IPOH - Penduduk Sungai Siput menerima khabar gembira apabila projek perumahan Taman Tasik Saujana bakal dimulakan tidak lama lagi di Kampung Sungai Buluh.
Pengarah Urusan Kinta Saujana Sdn Bhd, Cheng Heng Keong berkata, projek perumahan berkenaan menyediakan 560 unit rumah melibatkan pangsapuri kos rendah, rumah mampu milik, rumah kos sederhana (teres) dan rumah kos sederhana (dua tingkat).
Menurutnya, projek perumahan berkenaan diharap dapat membantu menangani permasalahan terutamanya melibatkan rumah kediaman di kawasan berkenaan.
"Projek ini kita jangkakan akan bermula pada 14 Februari ini dan akan siap dalam tempoh tiga setengah tahun.
"Oleh itu kita berharap, projek ini mendapat sokongan khususnya daripada penduduk di sekitar Sungai Siput supaya kita boleh siapkan projek ini dengan jayanya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Heng Keong berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Taman Tasik Saujana oleh Kinta Saujana di Pusat Konvensyen Sungai Siput, hari ini.
Hadir sama, bekas bekas Pengerusi Gerakan Perak, Tan Sri Chang Ko Youn dan Pengarah Urusan Kinta Saujana Sdn Bhd Cheng Heng Keong serta bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Tun Dr Samy Vellu yang menyempurnakan perasmian majlis pelancaran berkenaan.
Sementara itu Heng Keong berharap agar projek berkenaan dapat membantu memberikan manfaat khususnya menangani masalah rumah kediaman di sekitar kawasan berkenaan.
"Kita harap projek ini dapat dijayakan dalam tempoh kurang empat ini . Kita juga sungguh berbangga atas kesudian Samy Vellu merasmikan pelancaran projek ini,” katanya.