Semua SMA bawah kerajaan negeri dibuka untuk calon peperiksaan

Iklan
Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN - Semua 18 sekolah menengah agama (SMA) di bawah Kerajaan Negeri Pahang dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bagi pelajar-yang bakal mengambil tiga peperiksaan utama bermula pada Rabu.

Ia melibatkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Iklan
Iklan

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagi pelajar tingkatan satu hingga empat, pembelajaran diteruskan di rumah secara dalam talian.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil beberapa inisiatif bagi membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama termasuk menyediakan program motivasi dan seminar ringkas secara dalam talian.

Iklan

"Program ini dapat membantu pelajar mempersiapkan diri terutama bagi mengulangkaji pelajaran yang diikuti pada tahun lepas.

"Bagi pelajar lain yang mengikuti kelas secara dalam talian, kerajaan negeri mengenalpasti beberapa perkara antaranya keupayaan dan peralatan yang perlu ada untuk guru dan pelajar dalam sesi pengajaran serta pengajaran tersebut," katanya pada sesi temuramah bersama Fikrah Pahang yang disiarkan melalui saluran YouTube pada Rabu.

Iklan

Syed Ibrahim berkata, setiap pelajar perlu mempunyai kemudahan telefon pintar atau komputer yang dilengkapi aplilasi WhatsApp, Telegram bagi membantu mereka untuk mengikuti kelas dan sesi pembelajaran yang diadakan secara dalam talian.

"Pada masa sama, guru dan pelajar perlu mewujudkan 'Google Class Room' atau aplikasi lain yang sesuai untuk memudahkan urusan pembelajaran.

"Kerajaan negeri juga mengenal pasti mekanisma untuk memastikan pelajar mengikuti kelas yang disediakan termasuk menyediakan jadual waktu pembelajaran seperti di sekolah.

"Jadual ini akan diserah kepada guru dan pelajar dan sesi pembelajaran bagi mata pelajaran yang ditetapkan perlu dilaksanalan mengikut waktu yang dijadualkan,"katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) turut membangunkan aplikasi e-buku untuk mata pelajaran ditetapkan dari tingkatan satu hingga empat yang lebih lengkap.

"Melalui kemudahan itu, pelajar sekolah agama di bawah kerajaan negeri tidak sulit lagi untuk mendapatkan buku pelajaran sebaliknya semua ada di dalam e-buku ini,"katanya.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga membangunkan aplikasi tambahan dikenali sebagai Mahir Tutor bagi membantu pelajar mengikuti kelas tuisyen daripada guru berpengalaman dalam subjek tertentu secara dalam talian.

"Inisiatif ini akan memudahkan pelajar untuk lebih memahami mata pelajaran yang dipelajari selain memastikan mereka dapat belajar secara teratur dan tidak ketinggalan,"katanya.

Beliau berkata, sesi pembelajaran secara dalam talian bukan baharu sebaliknya sudah dilaksanakan di semua sekolah agama di bawah kerajaan negeri sejak berlaku penularan Covid-19 di negara dan negeri ini tahun lalu.

"Dalam pelaksanaan proses pembelajaran maya ini, kita mengenalpasti 20 peratus pelajar gagal mengikuti pembelajaran dengan sempurna atas beberapa faktor.

"Antaranya ada pelajar tidak mempunyai alat termasuk telefon pintar dan komputer, ada yang mempunyai kemudahan itu namun terpaksa berkongsi dengan adik- beradik lain dan ada yang tidak dapat mengikuti kelas kerana tiada capaian internet," katanya.

Justeru katanya, pihak Jaip diminta mengenalpasti pelajar-pelajar terlibat dan mencari jalan supaya mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian disediakan kali ini.