MELAKA - Mayat dipercayai seorang lelaki rakyat Malaysia ditemui di Pulau Rupat, Indonesia pada pagi Rabu.
Penemuan mayat yang lengkap berpakaian dan mula reput itu dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Indonesia kepada Polis Melaka kira-kira jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata, bagaimanapun pihaknya belum dapat mengesahkan lagi sama ada mayat berkenaan berkait dengan kes kehilangan dua nelayan yang turun ke laut dari Jeti Nelayan Padang Temu pada 13 Januari lalu.
Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat itu dipercayai mangsa telah meninggal dunia lebih tiga hingga empat hari.
"Maklumat awal sudah didapati tetapi kita perlu siasat lebih lanjut dan bekerjasama dengan polis Indonesia bagi mengesahkan sama ada berkaitan dengan kes kehilangan di sini atau sebaliknya.
"Dianggarkan mengambil tempoh seminggu untuk kita mendapat keputusan pengesahan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Penyampaian Sumbangan Kit Makanan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada petugas barisan hadapan di Plaza Tol Ayer Keroh di sini pada Rabu.
Terdahulu, tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp beberapa keping gambar berhubung penemuan mayat lelaki dalam keadaan tertiarap bersama lesen memandu dipercayai di Pantai Teluk Lecah.
Selain itu terdapat juga video berdurasi 20 saat yang menunjukkan mayat tersebut ditemui orang awam warga Indonesia di kawasan berlumpur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan mengenai penemuan lesen memandu atas nama Ahmad Norizan Mohamad yang turut ditemui pada mayat itu.
"Namun siasatan menyeluruh dan maklumat lanjut akan dilakukan bagi pengesahan tersebut.
"Jika ada keperluan untuk membawa ahli keluarga untuk tujuan pengesahan dan sebagainya bergantung kepada keperluan dan keputusan siasatan di sana," katanya.
Ahad lalu, Sinar Harian menyiarkan dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu dikhuatiri hanyut berhampiran dengan Pulau Udan sejak turun ke laut pada 13 Januari lalu.
Nelayan berkenaan dikenali sebagai Ahmad Norizan, 38, dan Wan berusia dalam lingkungan 30-an.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua nelayan hilang: Maritim Malaysia mohon bantuan Indonesia
Belum ada petunjuk dua nelayan hilang