KOTA BHARU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed masih belum dibenarkan discaj walaupun sudah 11 hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat positif Covid-19.
Mustapa dalam satu perkongsian menerusi Facebooknya memaklumkan, paru-paru beliau masih memerlukan rawatan.
"Keadaan saya bertambah baik sikit tetapi doktor tidak benarkan pulang lagi kerana rawatan pada paru-paru masih belum selesai.
ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disahkan positif Covid-19
"Kandungan oksigen, tekanan darah, darah keseluruhan, makan pun semuanya ok (baik) walaupun selera belum 100 peratus baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Mustapa berpesan, dengan mengambil iktibar kes harian yang berlaku seharusnya rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya untuk mengelak penularan serta jangkitan Covid-19.
"Jaga diri dan keluarga baik-baik. Rakyat perlu patuh SOP 100 peratus. Penguat kuasa juga jangan berkompromi.
"Rakyat dan penguat kuasa ambil serius arahan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob dan Tan Sri Nor Hisham Abdullah,” katanya.
Pada masa sama beliau berterima kasih kepada jururawat dan juga doktor yang merawatnya sepanjang 11 hari berada di HRPZ II.
"Ini semua memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan melawan Covid-19,” katanya.