PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah seluruh negara.
Menterinya, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia susulan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mula kembali ke sekolah pada Rabu.
Melalui Facebooknya, Mohd Radzi berkongsi beliau meluangkan masa meninjau operasi di SMK Putrajaya Presint 5 (1) dan SMK Putrajaya Presint 16 (1).
"Sebelum ke mesyuarat Jemaah Menteri, saya bersama Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim telah singgah di dua buah sekolah sekitar Putrajaya.
"Kami bertanya khabar murid-murid kelas SPM dan STPM yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
"Alhamdulillah, mereka nampak bersemangat," tulisnya.
Sebelum ini, KPM memutuskan hanya pelajar SPM, STPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 dan 2021 dibenar ke sekolah dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19.
Pelajar lain turut memulakan persekolahan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).