Kerajaan pilih ‘alat paling tumpul’ bendung penularan Covid-19

Iklan
Tinjauan di simpang empat berdekatan Pasar Seni yang kebiasaannya sibuk dengan kehadiran orang ramai dan pelancong kelihatan hampir lengang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan di sekitar Jalan Pudu hari ini. -Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan dilihat tidak mengambil sebarang pengajaran baharu dalam usahanya menangani pandemik Covid-19 setelah hampir setahun wabak berkenaan menular di dalam negara.

Ahli-ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu berkata, ia terbukti apabila kerajaan dilihat tidak mengendahkan nasihat yang berulang kali diberikan pelbagai pihak apabila tetap melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Telah berulang kali nasihat supaya kerajaan melaksanakan sistem yang membolehkan negara mengawal penularan Covid-19 sambil memastikan ekonomi terus berfungsi.

"Ia boleh dilakukan dengan melihat contoh yang ditunjukkan negara Korea Selatan, New Zealand, China, dan Taiwan. Tetapi negara masih ditawarkan alat yang paling tumpul iaitu perintah sekatan ataupun ‘lockdown'.

Iklan

"Ketika Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan dan kemudian Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menjadi intipati Belanjawan 2021, kesimpulannya kekal serupa,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Seramai 20 orang ahli Dewan Negara daripada PH yang terlibat dalam mengeluarkan kenyataan bersama tersebut.

Iklan

Mengulas lanjut, mereka berkata, langkah dilakukan kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 itu secara prinsipnya adalah tepat tetapi ia didapati terlalu kecil untuk menampung kehilangan pendapatan yang berlaku.

Jelasnya, ini kerana peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dilihat mengetepikan perkara asas dalam model ‘saring dan jejak’ iaitu keperluan untuk meningkatkan kapasiti saringan yang dilakukan.

Menurut mereka, daripada berusaha menjayakan model tersebut yang didapati efektif dalam membendung penularan Covid-19 tanpa mengenakan perintah sekatan, kerajaan sebaliknya mengambil tindakan yang bertentangan apabila membuat keputusan untuk mengehadkan jumlah ujian Covid-19 yang dikenakan kepada rakyat.

Pada masa sama, Pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan pada Isnin juga tidak memberikan sokongan ekonomi yang signifikan kepada rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan PKP 2.0.

Katanya, ia setelah mengambil kira keadaan semasa ekonomi rakyat yang kini disifatkan sebagai ‘nyawa-nyawa ikan’ dan diburukkan lagi dengan pengenalan semula PKP.

"Daripada segi ekonomi, PKP kali ini dijangka lebih memberi impak rendah berbanding Mac tahun lepas ekoran peraturan-peraturan yang kurang ketat.

"Namun kebanyakan keluarga dan perniagaan, walaupun mereka masih mampu bertahan setakat ini, sedang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

"Simpanan dan rizab tunai mereka sudah habis, maka PKP kali ini mungkin menjadi beban terakhir yang memusnahkan segalanya,” menurut kenyataan itu.