SHAH ALAM - Seseorang yang cenderung mengalami jiwa kacau dikenal pasti sebagai individu yang mengalami pelbagai masalah sehingga menyebabkan penyakit mental.
Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Intan Aidura Alias berkata, terdapat empat faktor yang menyebabkan berlakunya jiwa kacau pada seseorang seperti biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
"Kesemua elemen berkenaan saling berkaitan di antara satu sama lain dalam kehidupan setiap individu dan ia perlu diuruskan dengan baik untuk mengelakkan daripada mengalami tekanan jiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Wacana Al-Quran Siri 68 bertajuk Penawar Jiwa Kacau yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Intan Aidura berkata, setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga perkara paling asas iaitu faktor psikologi yang berkaitan dengan pemikiran.
"Jika seseorang individu tidak berjaya menguruskan pemikirannya dengan betul, ia akan menyebabkan emosi individu berkenaan tidak dapat dikawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Intan Aidura berkata, mereka yang mengalami jiwa kacau perlu kembali kepada al-Quran kerana ia akan memberikan petunjuk terhadap apa yang mereka perlukan.
"Walaupun pesakit hanya keseorangan untuk mendekatkan diri dengan al-Quran, insyaALLAH dia (pesakit) akan selamat kerana mempunyai matlamat yang betul untuk membaca dan memahami ayat al-Quran,” katanya.
Intan Aidura berkata, mereka yang mengalami jiwa kacau perlu berjumpa dengan pakar psikiatri yang akan membantu mereka mendapatkan ubat dan terapi.
"Terapi yang akan diberikan seperti bantuan teknik pernafasan yang boleh diamalkan. Pernafasan ini termasuk dalam faktor biologi yang penting untuk membantu mereka berfikir secara lebih baik dan mendapatkan ketenangan serta bertindak dengan betul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak perlu membantu memulihkan individu yang mengalami jiwa kacau antaranya dengan menggalakkan mereka untuk mendapatkan rawatan meskipun mempunyai pelbagai stigma mengenai penyakit berkenaan.
"Apa yang penting bagi pesakit ialah mereka mendapat sokongan sosial terutamanya ahli keluarga sehingga sembuh. Pesakit juga perlu solat kerana solat dapat mendekatkan diri mereka dengan ALLAH.
"Jika ada ALLAH, mereka ada ‘penyelamat’, insya-ALLAH,” katanya.