Insentif potongan cukai berganda galakkan majikan saring pekerja

Iklan
Shamsuddin

SHAH ALAM - Inisiatif kerajaan dalam memberikan potongan cukai berganda kepada majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 pekerja pada tahun ini akan menggalakkan majikan untuk melakukan saringan terhadap pekerja mereka.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pengumuman insentif terbaharu itu juga telah menjawab kegusaran majikan berkenaan kedudukan sebenar kos yang perlu ditanggung oleh mereka dalam isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Ia adalah satu galakan yang saya rasa amat menolong kepada majikan kerana sebelum ini mereka tidak begitu jelas apakah kedudukan kos untuk saringan berkenaan.

"Ini kerana sebelum ini, majikan tidak diberikan sebarang insentif untuk menghantar pekerja mereka membuat saringan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Pada Selasa, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, insentif pengecualian cukai tersebut akan turut dinikmati oleh individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi melakukan saringan Covid-19.

Iklan

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, kos saringan pekerja asing yang berada di zon merah akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, Shamsuddin berkata, pihaknya sebenarnya lebih mengharapkan agar kerajaan dapat menyambung skim terdahulu khususnya bagi sektor swasta di mana kos saringan pekerja ditanggung oleh Perkeso.

Menurutnya, langkah sedemikian adalah lebih penting pada masa sekarang kerana majikan sedang berhadapan dengan kesukaran untuk mengekalkan aliran tunai dan mengeluarkan perbelanjaan bagi melakukan saringan Covid-19 kepada pekerjanya.

Katanya, kerajaan juga perlu memberikan penerangan yang lebih baik dan tidak mengelirukan sekiranya skim tersebut kembali diperkenalkan.

"Kita amat berterima kasih kalau kerajaan dapat sambung semula skim sedemikian kerana kalau kita lihat pada dahulunya, mereka kata Perkeso akan tanggung dan selepas itu pula, mereka kata ia akan tanggung kit ujian sahaja.

"Dan pada masa ini pula, banyak kenyataan diberikan bahawa majikan akan tanggung kos itu sendiri. Jadi kita berharap perkara ini dapat ditangani dengan lebih baik supaya pada akhirnya majikan tidak terbeban dengan kos berkaitan Covid-19 ini,” katanya.

Beliau juga berharap supaya kerajaan dapat menangani dan memberi penjelasan berhubung dakwaan daripada industri insurans yang menyatakan mereka tidak menanggung kos perbelanjaan bagi kes berkaitan Covid-19.