SHAH ALAM - Mereka yang mengalami jiwa kacau dan sering bersendirian dinasihatkan untuk menggunakan teknik konfrontasi kognitif untuk kembali tenang.
Pensyarah di Department of Fundamental and Inter-Disciplinary Studies (FIDS), Kuliyyah of IRKHS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Abdul Latif Abdul Razak berkata, mereka boleh menggunakan teknik berkenaan terutamanya untuk menghapuskan bisikan syaitan yang sering didengari ketika bersendirian atau tidak berteman.
"Mereka perlu tegas dan cepat melawan bisikan berkenaan sebelum ia membahayakan diri. Malahan, masyarakat juga digesa untuk membantu mereka yang mengalami jiwa kacau dengan tidak membiarkan golongan ini bersendirian kerana dibimbangi akan dihasut oleh syaitan untuk melakukan perkara yang tidak diingini.
"Mereka yang mengalami jiwa kacau perlu proaktif dengan mendalami ilmu agama secara konsisten. Mereka boleh menghadirkan diri ke pelbagai program agama yang bermanfaat seperti majlis ilmu kerana ia sebagai ‘antivirus’ kepada bisikan syaitan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 68 bertajuk Penawar Jiwa Kacau yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Wacana itu turut menampilkan Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Intan Aidura Alias manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ustaz Abdul Khair Jalil mengalunkan bacaan ayat 82 hingga 83 Surah Al- Isra’.
Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata, panduan umum untuk membantu mereka yang mengalami jiwa kacau dan psikiatri ialah dengan membaca al-Quran yang memerlukan kehadiran guru untuk mengajarnya.
"Jika tidak mempunyai asas al-Quran, mereka akan berguru dengan syaitan yang akan membawa kepada kesesatan. Malah, pakar juga menjelaskan bahawa dua kaedah (rawatan) utama untuk membantu mereka yang mengalami jiwa kacau ialah mereka perlu menjaga solat dan sentiasa bersama dengan orang yang baik,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian video dalam wacana itu, seorang pesakit Schizoaffective, Faris Nazrin, 28, mengakui lebih suka menyendiri selepas mendapat tahu beliau mempunyai penyakit berkenaan.
Menurut Faris, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak dan membantu dirinya sendiri dan berubah.
"Saya mula mendapatkan maklumat dengan membaca mengenai penyakit mental dan cara penjagaannya. Saya mahu mengajak masyarakat untuk bersama-sama membuang persepsi yang tidak baik terhadap isu kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata, tidak ada apa yang perlu dimalukan jika menghidap penyakit mental.