KUALA TERENGGANU – Perahu besar jenis pinis diberi nama Naga Pelangi II milik warga Jerman, Christoph Swoboda yang dibina di Pulau Duyong, Terengganu pada 2007 menjadi lambang kehebatan dan kepakaran orang Melayu dalam pembuatan pengangkutan air tradisional.
Keunikan binaan serta daya tahan yang dimiliki menjadikan perahu besar itu antara pengangkutan terhebat pernah dihasilkan di kampung tersebut sekali gus mengangkat nama kampung kecil yang tersohor dalam bidang pembuatan perahu serta kapal sekitar 1970-an dan 1980-an.
Usahawan kraf yang terlibat dalam pembinaan Naga Pelangi II, Wan Nordin Wan Abdullah, 64, berkata, beliau terlibat dalam pembuatan peralatan pelayaran menggunakan besi dan tali untuk mengukuhkan struktur layar perahu yang ditempah warga Jerman tersebut.
Beliau berkata, nilai perahu besar berukuran 28.4 meter itu terletak pada kayu yang digunakan di mana kesemuanya menggunakan kayu cengal yang kini sukar diperoleh.
"Proses pembuatan perahu ini agak rumit kerana kayu yang digunakan perlu dijemur selama dua tahun sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan.
"Ia juga dibuat dengan begitu teliti dan halus. Pembinaan perahu ini tidak menggunakan paku namun menggunakan cara pasak bagi mencantumkan antara papan perahu berkenaan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Duyung Craft Centre & Gallery di sini pada Selasa.
Kisah Kapal Naga Pelangi II baru-baru ini menjadi tular setelah seorang pengguna laman Facebok berkongsi gambar berserta kisah asal usul kapal layar itu di media sosial.
Wan Nordin berkata, selain pasak, kaedah pembuatan perahu di Pulau Duyong termasuk Naga Pelangi II yang merupakan antara perahu besar yang terakhir ditempah tidak menggunakan sebarang lakaran pelan.
"Orang Terengganu dahulu menggunakan istilah perahu bagi pengangkutan air di mana ia merujuk kepada pengangkutan yang tidak mempunyai enjin. Uniknya perahu besar yang dibuat di sini dihasilkan tanpa menggunakan sebarang lakaran pelan.
"Sebelum menerima sebarang tempahan, pelanggan hanya perlu memberitahu panjang, lebar dan ciri-ciri khusus bagi kapal yang dikehendaki. Daripada maklumat itu, pembuat kapal sudah mendapat gambaran rupa bentuk kapal yang ingin ditempah. Itu keistimewaan kapal-kapal yang ada di Pulau Duyong,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Nordin berkata, pembuatan kapal dan perahu besar di situ kini semakin suram disebabkan tidak ramai yang mahir selain tempahan bagi pengangkutan itu sudah berkurangan.
"Ramai yang mahir membuat perahu besar dan kapal sudah meninggal dunia, generasi baharu juga sudah tidak berminat dan beralih kepada pengangkutan moden. Kini hanya tinggal tiga individu sahaja yang memiliki kemahiran dalam kapal dan perahu di kampung ini," katanya.
Dalam pada itu, Wan Nordin yang aktif dalam pembuatan replika bot dan kapal sejak 35 tahun lalu berkata, kepakaran membuat peralatan perkapalan yang dimiliki memberi peluang untuk beliau turut serta dalam penggambaran drama bersiri antarabangsa 'The Adventures Of Marco Polo' yang ditayangkan di Netflix pada 2014.
"Saya berada di set penggambaran selama sebulan untuk menyiapkan peralatan pelayaran bagi tiga buah kapal yang digunakan dengan bayaran RM100,000. Ia antara bayaran tertinggi yang pernah saya terima sepanjang hidup," katanya.
Wan Nordin mahir menghasilkan 10 jenis replika pengangkutan air tradisional Terengganu seperti perahu besar pinis, perahu payang, kolek lincang, sekoci, bedar, payang barat, kolek kuel, setok, kajangan dan perahu besar bedar yang dijual pada harga RM150 hingga RM5,000.
Katanya, replika yang dihasilkan pernah menghiasi kediaman pemimpin negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Said.
"Saya banyak bergaul dengan mereka yang pakar dalam pembuatan bot dan kapal ini daripada situ saya mula menimba pengalaman bersama generasi terdahulu dalam pembuatan kapal layar tradisional sehingga membolehkan saya membuat replika bot dan kapal tanpa menggunakan sebarang pelan," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai pembuatan replika bot dan kapal yang diusahakan, Wan Nordin berkata, beliau menerima banyak tempahan termasuk daripada jabatan kerajaan, syarikat korporat dan swasta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.
"Ramai yang tempah untuk jadikan replika sebagai cenderahati kepada orang kenamaan. Saya bersyukur kerana setakat ini, perniagaan saya tidak terjejas dengan pandemik Covid-19,” katanya.