KOTA BHARU - Undang-undang syariah di negara ini masih ada kelemahan kerana sukar untuk mengenakan tindakan terhadap lelaki yang bebas berpelakuan seperti wanita atau mak nyah di media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, contoh situasi mengikut undang-undang di Wilayah Persekutuan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, penguatkuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana individu itu seorang mak nyah sebaliknya perlu membuktikan bahawa dia menjadi mak nyah di tempat awam dan dengan tujuan tidak bermoral.
"Aspek undang-undang syariah yang agak ketinggalan dalam hal ini kerana jika perlakuan itu dimuat naik ke media sosial, ia tidak dikira sebagai tempat awam.
"Inilah sebab kita mahu pinda bahagian undang-undang syariah yang ada kaitan dan akan diusahakan secara berperingkat. Kita mahu selari dengan perkembangan teknologi dan keadaan semasa,” katanya di Facebook pada tengah malam Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, terdapat dua perkara yang akan dimasukkan dalam pertimbangan untuk pindaan undang-undang tersebut.
"Pertama, tukar jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam undang-undang jenayah syariah.
"Kedua, kandungan media sosial yang berkaitan dengan semua perlakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan syariah yang dilakukan secara dalam talian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi menangani isu golongan lesbian, gay, bisexsual dan transgender (LGBT) bagi yang beragama Islam.
"Jawatankuasa dianggotai oleh lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lepas.
"Doa dan sokongan kalian semua amatlah kami harapkan dalam usaha mengekang individu dan organisasi yang cuba mempromosi gaya hidup songsang kepada anak-anak kita,” katanya.