TANJONG KARANG - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memberi sumbangan bekalan makanan dan air mineral kepada petugas barisan hadapan di Parlimen Tanjong Karang yang berdepan risiko serta tugas berterusan dalam menangani pandemik Covid-19.
Sumbangan makanan yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang, Datuk Mohd Shahrizal Sahri itu diagihkan kepada kira-kira 250 petugas barisan hadapan selama lapan hari berturut-turut bermula pada Rabu.
Mohd Shahrizal berkata, sepanjang tempoh tersebut, pasukannya itu akan menghantar bekalan makanan sarapan pagi, tengahari dan makan malam.
"Sepanjang tempoh mencabar ini, petugas barisan hadapan adalah wira kepada seluruh rakyat bagi menjamin keadaan kesihatan dan keamanan negara berada pada tahap terbaik," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, pengorbanan dan jasa petugas barisan hadapan amat dihargai terutama dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.
"Dalam kesibukan kerja, petugas barisan hadapan mungkin tidak sedar untuk berehat dan mungkin juga tidak sempat untuk memesan makanan.
"Kami sedaya upaya membantu mereka dengan menyediakan bekalan makanan supaya mereka dapat bekerja dengan lebih lancar.
"Selain pemberian bekalan makanan dan air mineral kita turut menyumbang pelitup muka, barangan keperluan lain seperti kopi dan susu," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shahrizal berkata, sumbangan itu turut diagihkan kepada beberapa petugas barisan hadapan yang bertugas di Balai Polis Tanjong Karang, Klinik Kesihatan Tanjong Karang dan Klinik Kesihatan Dato Manan.
"Selain itu, kita menyerahkan sumbangan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bagan Pasir dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pasir Penambang," katanya.
Sementara itu, menerusi status dimuat naik Noh di Facebook memaklumkan, beliau tidak dapat bersama-sama pada penyampaian sumbangan bekalan makanan tersebut disebabkan masih dalam tempoh kuarantin.
"Walaupun saya tidak dapat balik ke kawasan tetapi keperluan penduduk termasuk petugas barisan hadapan di Tanjong Karang sentiasa dekat di hati saya.
"Terima Kasih juga buat semua petugas barisan hadapan yang masih bersemangat untuk bertugas dalam tempoh PKP ini," katanya.