SEPANG - Polis sudah membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) berhubung tindakan segelintir pesakit Covid-19 dipercayai berjudi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, satu laporan telah dibuat oleh anggota polis di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda.
Iklan
Iklan
"Kertas inkuiri telah dibuka untuk siasatan lanjut serta pemantapan pemeriksaan pesakit di MAEPS.
"Kita masih menunggu arahan Bukit Aman untuk mengklasifikasikan kes di bawah seksyen bersesuaian," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial menunjukkan aktiviti segelintir pesakit Covid-19 berkumpul bermain daun terup hingga mengundang kecaman netizen.
Berdasarkan rakaman video tersebut, tiada wang diletakkan bersama, namun kelihatan paket makanan seperti biskut dan mi segera dipercayai dijadikan sebagai barang pertaruhan.
Setakat Khamis, video itu telah mendapat perkongsian hampir 1,000 selain lebih 300 reaksi daripada pengguna Facebook.