SHAH ALAM - Kegiatan rasuah sukar untuk dibendung jika masyarakat masih 'sayang' kepada pelaku rasuah, kata Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah.
Beliau berkata, ini kerana wujud keadaan di mana masyarakat hanya sekadar membuat desahan bukannya desakan.
"Desakan dan desahan dua perkara yang berbeza. Desakan anti rasuah perlulah seiring dengan menolak pelakunya.
"Namun desahan ini apabila kita kata kita benci rasuah, tapi kalau orang yang kita sanjung kena hukuman, dikatakan undang-undang berat sebelah. Orang yang dah jatuh hukuman pun kita datang cium tangan... cium mulut. Kata benci rasuah, tapi adakah kita benar-benar benci kepada perasuah?
"Jadi bila kita nak berubah jika kita masih lagi 'sayang' kepada perasuah? Gerakan ini kita kena tekankan," katanya ketika Sinar Live bertajuk 'Rasuah Kenapa Ambil Mudah?' yang disiarkan secara langsung pada Rabu.
Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan stigma terhadap perasuah dianggap biasa apabila pelaku boleh keluar berjumpa dengan masyarakat tanpa rasa malu.
Pada masa sama katanya, anjakan paradigma dalam diri individu juga perlu dibuat dengan tidak memilih terlibat sebagai pelaku kegiatan rasuah.
"Kalau betul nak berubah, tengok diri kita. Ramai yang marah rasuah tapi dia sendiri jika diberi peluang untuk dapatkan sesuatu tanpa melalui proses, mereka 'melompat', hanya bayar untuk dapat lesen, mereka buat. Jadi semua ini kena dihentikan," katanya.
Abdul Samat berkata, perubahan terhadap undang-undang juga perlu diberi perhatian dan diteliti, adakah undang-undang yang diberikan kepada SPRM itu mencukupi?
Ujarnya, banyak kekangan khususnya dari segi proses pembuktian kegiatan rasuah itu benar-benar wujud.
"Daripada segi beban pembuktian pula tersangat tinggi sehinggakan seolah-olah nak nampak, tahu dan nak jelas.
"Kita lihat hari ini berapa banyak kes terpaksa dipulangkan balik duit. (Kes) parti-parti politik, dah disita pulang balik... termasuk kes orang perseorangan," katanya.