KLANG - Polis menumpaskan kegiatan curi bahan mentah membuat sarung tangan dengan tertangkapnya 10 lelaki dalam serbuan di Pulau Pinang dan Perak, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, operasi yang diketuai Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zumairi Othman berjaya memberkas enam lelaki menerusi serbuan pertama di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada Ahad.
Menurutnya, soal siasat kemudian membawa tangkapan empat lagi suspek di sebuah depoh simpanan lori di Taiping, Perak pada Rabu.
"Penahanan suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan lima warga asing itu susulan laporan yang dibuat seorang jurutera di sebuah kilang sarung tangan di Klang berhubung kecurian latex (bahan mentah sarung tangan) pada 13 Januari lalu.
"Sebanyak 5,570 kilogram bahan mentah bernilai RM54,000 dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan mendapati salah seorang tangkapan adalah pemilik depoh berkenaan.
Katanya, semakan polis juga mendapati tiga warga tempatan yang ditahan memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
"Serbuan terbabit telah bertindak merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dan pacuan empat roda, tujuh telefon bimbit, kunci kenderaan, lima tong cecair serta satu dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kes berlainan, IPD Klang Utara telah mengeluarkan 120 kompaun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang mula dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.
"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tiada penjarakkan sosial dan menjalankan perniagaan melebihi had masa," katanya.