SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan menjadikan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SS0C) sebagai Bilik Gerakan Covid-19 negeri Selangor.
Bilik Gerakan itu akan mengurus bantuan, menyokong pengurusan operasi kawalan bersama agensi persekutuan termasuk pemantauan berpusat kes Covid-19 Selangor secara berkala.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, pengoperasian bilik gerakan ini adalah salah satu langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam mendepani pengurusan operasi PKP 2.0 yang lebih berkesan.
"Pusat kawalan yang menelan belanja RM6 juta ini mempunyai keupayaan operasi 24 jam lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi sehingga 3Gbps, pusat data hybrid dan sistem komunikasi berpusat serta Smart Data Platform yang dilengkapi dengan keupayaan Big Data Analytics untuk membantu analisa sebarang data operasi yang diperlukan.
"Pusat operasi ini telah siap dibangunkan pada penghujung tahun 2020 di Dewan Jubli Perak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) merangkumi lima fungsi bersepadu iaitu Command, Control, Communications, Computer, Collaborative and Intelligence,”katanya.
Menurutnya, SSOC akan menjadi infrastruktur utama yang menyatukan jaringan CCTV Kerajaan Negeri dan agensi negeri yang lain.
"Ia akan menjadi operasi pemusatan data, operasi kawal dan perintah di antara agensi negeri seperti Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan,”katanya.
Pusat Operasi Smart Selangor C5i ini merupakan salah satu daripada 60 inisiatif di bawah program Smart Selangor yang dibangunkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar berdaya huni di rantau ASEAN menjelang 2025.