Pelajar Malaysia kemalangan di Sydney beransur pulih

Iklan
Meor Ahmad Azizul (kanan) bersama bapa saudara, Abd Razak menemani Meor Muhamad Mustaqim di Hospital St George Sydney

KUANTAN - Keluarga penuntut Malaysia yang parah selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika sedang bekerja di Sydney, Australia, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan kedutaan yang memberikan bantuan segera saat memerlukan.

Abang mangsa, Meor Ahmad Azizul Hakim Meor Ahmad Husin, 31, yang kini berada di sana berkata, keadaan adiknya Meor Muhamad Mustaqim, 28, stabil dan menerima rawatan di Hospital St George di Kogorah, Sydney.

Iklan
Iklan

"Adik saya menerima rawatan di sini sejak 16 Januari lalu. Kecederaan dia serius dengan tulang pelvis pecah dan cedera di bahagian badan.

"Semasa menjalani pembedahan kecemasan, doktor memasukkan satu rangka besi dan skru di kawasan tulang pinggang," katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Iklan

Katanya, adiknya perlu menjalani fisioterapi selain akan menjalani satu lagi pembedahan susulan untuk mengeluarkan rangka besi yang dimasukkan.

"Keadaannya sekarang nampak beransur baik, cuma kaki kiri daripada pinggang ke paha tidak boleh bergerak langsung," ujarnya.

Iklan

Meor Ahmad Azizul berangkat ke Syedney bersama abang ipar, Abd Razak Md Nor, 48, pada 4 Februari lalu untuk menjaga adiknya dan dijangka pulang ke Malaysia esok, (10 Februari).

Meor Ahmad Azizul (kanan) bersama bapa saudara, Abd Razak menemani Meor Muhamad Mustaqim di Hospital St George Sydney

Dalam kejadian 16 Januari lalu, Meor Muhamad Mustaqim koma selama dua hari selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika bekerja sambilan di sebuah tapak pembinaan.

Anak kesembilan daripada 11 beradik, merupakan pelajar semester dua di Pacific Training Group (PTG) di Clerence Street, Sydney.

Dia bekerja sambilan bagi menampung keperluan perbelanjaan di sana.

Mengimbas detik mendapat makluman mengenai khabar adiknya, Meor Ahmad Azizul Hakim berkata, dia dan ibu, Hasnah Mohamad Zain, 64, sangat cemas dengan berita itu.

"Adik sendiri yang hubungi kami selepas dia jatuh tu, tapi lepas tu tak dapat berhubung dah sebab bateri telefonnya habis.

"Keadaan masa tu rasa sangat cemas dan bimbang apatah lagi kami tiada kenalan di sana dan tak tahu nak berhubung dengan siapa termasuk rakan serumahnya.

"Mujurlah ada pihak kedutaan. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan kedutaan Malaysia di sana yang sangat prihatin dengan keperluan kami pada masa ini.

"Insya-ALLAH wang dihulur akan digunakan sebaik mungkin untuk rawatan susulan adik dan membawanya kembali ke Malaysia," tambahnya.

Katanya lagi, melihat perkembangan adiknya beransur pulih, dia berharap agar semuanya dipermudahkan.

"Mohon doakan kesembuhannya secepat mungkin supaya proses pembelajarannya dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar.

"Itu adalah cita-citanya dan menjadi harapan keluarga, kami redha dan percaya ada hikmah di sebalik ujian ini. Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Bapa mereka, Meor Ahmad Hussin Nordin, meninggal dunia 13 tahun lalu pada usia 57 tahun.