Inix jangka perolehan tahunan sarung tangan getah RM200 juta

Iklan
Barisan pengeluaran sarung tangan getah di kilang milik L&S Gloves di Beranang, Selangor.

KUALA LUMPUR - Penerokaan iNix Technologies Holdings Bhd (Inix) ke dalam industri sarung tangan bermula menerusi pemeteraian perjanjian jualan saham (SAA) dengan L&S Gloves Sdn Bhd menandakan selesainya pengambilalihan kepentingan 51 peratus dalam pengeluar sarung tangan itu.

Penyelesaian pengambilalihan itu akan menghasilkan pengiktirafan pendapatan segera daripada dua barisan pengeluaran sarung tangah getah L&S yang ada yang terletak di Beranang, Selangor.

Iklan
Iklan

Sebaik selesai pengambilalihan keseluruhan 12 barisan tambahan pada tahun 2021, ia dijangka menghasilkan perolehan tahunan sebanyak RM200 juta.

Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam berkata, ia berdasarkan kapasiti pengeluaran sarung tangan sebanyak 1.4 bilion sarung tangan setahun.

Iklan

"Pemeteraian perjanjian jualan saham adalah satu lagi langkah yang diambil kumpulan untuk meneroka perniagaan pengeluaran sarung tangan.

"Ini juga memberi kami pengiktirafan pendapatan segera dari dua barisan pengeluaran sedia ada, untuk memulihkan syarikat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Siva berkata, kumpulan itu sedang dalam usaha untuk memulakan operasi dua barisan pengeluaran tambahan pada Februari ini bagi memenuhi permintaan sarung tangan yang semakin meningkat.

Beliau berkata, pengeluaran sarung tangan harian sedia ada L&S sudah habis dijual terlebih dahulu, dan penghantaran kepada pelanggan dilakukan setiap hari, menunjukkan permintaan sarung tangan yang mencukupi di pasaran.

"Kami sudah maju untuk menambahkan dua barisan pengeluaran pada Februari tahun ini. Ketika ini, ia sudah siap 70 peratus, dan kami yakin ia akan beroperasi bulan depan," katanya.

Pengerusi Inix, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir pula berkata, kumpulan itu akan terus melabur dalam pengembangan kapasiti pengeluarannya bermula sekarang dan seterusnya.

Beliau berkata, pihaknya komited dan bertekad untuk memastikan perniagaan baharunya itu dalam industri pembuatan sarung tangan akan berjaya berkembang.

"Dengan permintaan yang kukuh yang jauh melebihi bekalan sedia ada, kami meninjau untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tangan kami.

"Dengan L&S memiliki pesanan mencukupi yang dapat bertahan untuk dua tahun akan datang, kami bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kami kepada 14 barisan pengeluaran dalam 12 bulan akan datang, dengan jumlah pelaburan tidak kurang daripada RM50 juta," katanya.

Walaupun pengembangan vaksin baru-baru ini tidak mengurangi permintaan sarung tangan berbanding pada tahap awal pandemik Covid-19, permintaan sarung tangan terus meningkat mengatasi bekalan di tengah-tengah perubahan struktur dalam kesedaran kebersihan.

Ia akan berlaku meskipun terdapat peningkatan dalam kapasiti pengeluaran oleh pengeluar sarung tangan sedia ada serta kemunculan pengeluar sarung tangan baharu.

Sementara itu, Siva menjelaskan bahawa purata harga jualan (ASP) untuk sarung tangan akan terus dalam aliran meningkat, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada lonjakan awal yang dilihat berikutan pandemik.

"Kami yakin bahawa perubahan struktur yang tetap dalam kesedaran kebersihan akan menyokong permintaan untuk sarung tangan. Ini terutama berlaku bagi negara di rantau Asia seperti China.

"Sebanyak 97 peratus daripada pengeluaran semasa L&S dieksport ke China dan India, kami yakin bahawa Inix berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini dan Eropah menuju ke depan," katanya.